Rabu, 25 Julai 2012

SELAMAT MENGERJAKAN UMRAH SAHABATKU

Sebaik habis menamatkan pengajian, amat jarang kami bertemu. Hanya sesekali sahaja kami berhubung melalui telefon. Itu pun bercakap hanya seminit dua. Atau apabila menemui jalan buntu dalam mana-mana masalah kerja. Kami sesekali berhubung atau ber'sms' bertanya khabar. Sesekali apabila duduk merenung kenangan silam, terasa begitu indahnya nostalgia. Masa mengharung kemelut sebagai mahasiswa - dengan pelbagai tanggungjawab lain yang turut membebani diri - ibu, anak, isteri, adik, rakan malah pelajar terus digalas ketika diri begitu nekad menggenggam segulung ijazah. Masa itu segalanya bukan masalah besar. Malah persahabatan kami terus berjalan seiring dengan cita-cita untuk menuju puncak.

Sebenarnya kumpulan kami terdiri daripada 5 orang - tiga perempuan dan dua lelaki. Kami akan sama-sama ke kampus dengan menaiki sebuah kereta. Persahabatan kami amat akrab. Katalah apa sahaja, tiada yang dapat menggugat persahabatan tersebut yang terbina dengan 'aura'nya yang tersendiri. Memandangkan saya yang paling senior (dari segi usia), maka rumah sayalah yang sering dijadikan destinasi pertemuan - bincang, sembang dan juga makan-makan. Maka keluarga kami berlima sudah seperti sebuah keluarga besar. Mengenali antara satu sama lain, saling pula boleh tegur-menegur.

Sebaik habis pengajian, masing-masing kami ditempatkan di daerah masing-masing. Empat orang ke daerah Kubang Pasu manakala saya seorang sahaja yang kembali ke Kota Setar. Sememangnya di Kota Setarlah tempat saya mencari rezeki selama ini dan di sinilah saya membina sebuah keluarga bersama suami dan anak-anak. Alam pekerjaan menjadikan hubungan kami agak terjarak. Masing-masing mempunyai komitmen terhadap tugas yang diamanahkan. Jika ada kerinduan pun, terpaksa kami simpan kerinduan itu demi melunaskan semua tanggungjawab yang terpikul di bahu. Jaranglah juga kami boleh berjumpa lantaran perbezaan daerah. Dan selalunya, sayalah yang 'terpinggir' memandangkan daerah yang berbeza meskipun menyandang jawatan yang sama.

Awal Ramadhan ini, ketika itu saya sedang sibuk melayani beberapa orang, klien yang datang juga guru-guru untuk mendapatkan bantuan. Telefon saya tiba-tiba berbunyi. Kesibukan menjadikan saya tidak dapat menjawab pentas. Hanya beberapa ketika selepas itu barulah saya berjaya menjawab 'sms' tersebut dengan 'sms' juga. Hati terlonjak menghubungi. Sayangnya beberapa kes, termasuk dihubungi seorang waris perihal anaknya, menyebabkan keinginan saya sedikit terbantut. "Maybe petang ini saya agak free. Boleh jugalah saya hubungi dan bercakap panjang dengan Mona". Itu getusan hati saya - yang sebenarnya lebih kepada memujuk.

Kekalutan sepanjang hari itu, menjadikan petang saya begitu kepenatan. Terlupa saya untuk menghubungi sahabat saya itu sehinggalah hari menginjak menemui hari berikutnya. Pagi ketika ingin ke sekolah dan mencapai handphone yang dicas, hati tiba-tiba sebak. "Mona dengan keluarganya pi umrah semalam. Tak sempat pun bercakap.." Kata saya kepada suami untuk menghilangkan rasa bersalah yang teramat. Suami saya hanya mengulas sepatah dua dan perbualan kami hanya habis di situ.

Sebenarnya tulisan ini hanyalah satu tulisan yang menggambarkan kekecewaan saya - lantaran kedhaifan dan ketidakperihatinan saya sehingga keberangkatan sahabat saya yang selama ini bersusah-senang bersama tidak dapat saya raikan. Namun, di kejauhan ini saya akan sentiasa mendoakan mereka - selamat pergi dan selamat kembali. Selamat juga menunaikan umrah yang tentunya sangat meriah ketika buan Ramadhan ini. Kemaafan juga sebenarnya yang ingin saya pohonkan kerana sehingga masa pemergian kalian saya tidak langsung menghubungi. Tidak pernah melupakan kerana ikatan persahabatan kita itu terlalu besar ertinya buat saya. Salam kemaafan, salam Ramadhan sahabatku Mona Fairuz dan suami!!

Selasa, 3 Julai 2012

SAYA, STRESS DAN MATA

Sudah lebih dua minggu sebenarnya saya berada dalam keadaan yang kurang memberangsangkan. Dengan rasa kurang selesa serta badan-badan berasa kurang selesa – sakit dan lenguh. Selebihnya sendi-sendi saya turut berasa tidak berdaya. Dan yang paling menyukarkan adalah kepala saya – sakitnya berhari-hari sehingga mengganggu segala aktiviti dan keterbatasan diri. Saya berasa cukup terbatas, terutama dalam gerak-geri. Banyaklah masa saya hanya memerapkan diri. Apabila berlama-lama di hadapan computer, pening saya mengambil masa yang cukup lama untuk baik semula. Atau ketika saya menulis terlalu banyak menggunakan pena, mata saya pula terasa begitu penat dan letih. Yang keletihannya merayap pula ke tulang-tulang belikat dan ke tengkuk. Yang menjadikan urat-urat tengkuk saya tegang dan terasa payah pula untuk dipaling ke kiri dan kanan.

Kesukaran ini sebenarnya cukup mengganggu konsentrasi saya. Malah menjadikan momentum saya sedikit tercalar. Hinggakan bangun pagi saya turut tergugat kerana saya juga perlu berlama-lama di bilik air. Sedikit pening dan dunia saya rasanya berpusing-pusing. Selalunya pula saya beranggapan ‘angin’ sedang menyerang diri saya dari segenap ruang. Terasa perut, telinga, kepala, badan dan seluruh anggota badan saya telah dimasuki ‘angin’ hingga menyebabkan keadaan saya benar-benar diluar kebiasaannya. Saya tidak tahu sebenarnya apa yang menyerang saya dalam masa dua minggu ini. Segalanya menjadi tidak terurus – pergerakan, perbuatan malahan tingkah laku. Pelbagai persoalan pula bertandang sehingga bermacam-macam spekulasi pula timbul.

Hari Ahad, seperti mana-mana pekerja di utara Tanah Air, saya juga bangun seawalnya untuk bekerja. Seperti hari-hari lain, saya bangun sebelum solat subuh dan ketika itu suami saya sudah lama bangun. Kebiasaannya begitu. Saya selalu bangun selepas suami saya bangun. Cuma bezanya pagi ini selepas mandi dan solat saya kembali meletakkan badan di katil. Terasa tidak bermayanya badan. Kepala saya berpusing-pusing dan saya rasa pergerakan saya tidak stabil. Lama saya berbaring sehingga suami saya kehairanan dan bertanya sama ada saya akan ke sekolah atau tidak.

“Nak ke klinik.” Jawab saya lemah dan jawapan itu meninggalkan kerisauan pada suami saya. Biasanya setiap pagi apabila hari bekerja saya akan bersiap lebih awal daripada suami saya. Selalunya meskipun yang bangun tidur lebih awal adalah dia tetapi sayalah yang akan keluar dahulu dari rumah selepas menjamah sebiji dua kurma dan segelas air. Itu kebiasaannya. Namun hari ini ketika jam menunjukkan pukul 7.00 pagi saya masih di atas katil. Masih berkain sembahyang. Kerana tabiat luar biasa itulah juga suami saya tidak ke pejabat dan seterusnya menemani saya ke klinik. Sayalah klien pertama yang sampai ke klinik pagi itu dan saya dilayan mesra memandangkan tidak ada orang lain yang datang. Kebetulan pula inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Klinik Dr. Azhar dan Rakan-Rakan. Kata orang servicenya bagus dan doktornya juga baik dan ramah. Sebenarnya hanya klinik ini sahaja yang dibuka dan ada doctor pada ketika saya amat memerlukannya saat ini.

Berbual dengan doctor yang masih muda, ternyata spekulasi dan kerisauan saya meeset agak jauh. Darah saya stabil cuma kata doctor saya berada dalam keadaan stress dan ini akan membawa kepada tekanan. Terkejut juga saya dan fikiran saya terus berputar-putar. Sebenarnya sejak beberapa malam kebelakangan ini saya tidak dapat tidur lena, entah apa yang saya fikirkan. Setiap kali terbaring otak saya bagai berjalan jauh, berpusing-pusing dan apabila bangun esoknya saya akan mengalami sakit kepala. Hairan juga saya, seorang kaunselor yang belajar pelbagai ilmu psikologi boleh pula diserang ‘stress’ sehingga berkemungkinan besar jika dibiarkan akan membawa kepada tekanan. Ya Allah, ujian apakah sebenarnya ini. Selain stress dan tekanan, doctor juga menasihati saya memeriksa mata saya kepada yang lebih pakar kerana menurutnya retina mata saya ada sedikit masalah. Rupa-rupanya Allah SWT telah mengambil sedikit demi sedikit yang dipinjamNya kepada saya selama ini. Sudah lebih 45 tahun saya bersenang-lenang dengan anugerahNya, hari ini saya diuji dengan sedikit ‘jemputan’Nya semula. Selain ketenangan jiwa dan hati saya diragut dengan kehadiran ‘stress’ dan ‘tekanan’ pada ketika yang sama kadar penglihatan saya juga turut terjejas. Masalah penglihatan ini, menurut doctor mata yang memeriksa saya masih baru, tetapi impaknya begitu cepat dan saya dinasihatkan berkaca mata dengan kadar segera.

Saya menerima semua ketentuan Allah SWT ini dengan rasa kesyukuran. Alhamdulillah kerana saya diuji Allah untuk saya terus mensyukuri nikmat dan rahmat yang diberiNya kepada saya. Mungkin pada saat ini saya berasa kehilangan dan kekosongan namun saya pasti Allah mempunyai rahsiaNya yang saya tidak tahu bila dan apa. Alhamdulillah dan kini saya terpaksa pula membataskan rutin saya di hadapan computer untuk memberi ruang rehat yang panjang kepada mata!!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...