Sabtu, 30 Jun 2012

Teks Ucapan Perhimpunan Mingguan

Bagi yang memerlukan, ini adalah teks ucapan dalam suatu perhimpunan mingguan pada tahun 2011. Jika boleh digunapakai untuk memudahkan urusan guru-guru bertugas bolehlah berkongsi jika suka.

Para pelajar
yang dikasihi,

Hari ini 4 September 2011 bersamaan dengan 6 Syawal. Saya tahu rata-rata pelajar dan guru masih dalam ‘mood’ raya – justeru saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir batin. Namun, dalam kemeriahan kita berhari raya, setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Begitu juga semua pelajar yang berada di hadapan saya pada hari ini. Memandangkan peperiksaan PMR juga semakin hampir maka sudah sewajarnya kita lebih cenderung merasa risau untuk berhadapan dengan PMR berbanding berhadapan dengan kemeriahan menyambut Aidil Fitri ini.

Jadi pada kesempatan ini saya suka untuk berkongsi idea dan maklumat berkaitan dengan Persediaan Menghadapi PMR 2011. Sekuarang-kurangnya para pelajar dapat menjadikan maklumat ini sebagai garispanduan sebelum tibanya hari bersejarah iaitu Peperiksaan PMR pada 3 Oktober 2011 nanti.

Jangan ambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah pada saat-saat akhir sebelum peperiksaan tiba dengan alas an remeh-temeh dan tidak munasabah. Contohnya mengikut ibu bapa menghadiri kenduri atau majlis rumah terbuka. Sebenarnya pada saat-saat akhir banyak maklumat dan juga tips yang akan dikongsi bersama oleh para guru.

Jaga diri anda terutama dari segi keselamatan, kesihatan fizikal dan kesihatan emosi. Jika keselamatan diri terganggu, kesihatan fizikal dan emosi tergugat para pelajar berkemungkinan berhadapan dengan masalah ketidakhadiran ke sekolah. Atau dalam istilah yang lain ‘ponteng’ sekolah.

Jangan lakukan dan cuba elakkan diri anda melakukan sebarang aktiviti yang boleh membawa kepada kecelakaan dan kecederaan seperti menunggang motosikal dan makan secara berlebihan. Saya pasti semua pelajar sudah tentu tidak mahu mengambil peperiksaan di dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau kita tidak berhati-hati kita sebenarnya mendedahkan diri kita kepada pelbagai kemungkinan. Jadi sebaik-baiknya para pelajar berada di rumah dalam musim menjelangnya peperiksaan ini.

Selain itu kesihatan mental juga perlu dijaga sebaik-baiknya. Saya tahu semakin hamper dengan peperiksaan semakin ramai pelajar merasa takut akan kegagalan. Tambahan pula harapan kedua-dua ibu bapa dan guru begitu tinggi terhadap anda. Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya. Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga membuatkan anda meragui kebolehan diri anda.

Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan terhadap emosi. Beberapa perkara perlu dielakkan. Antaranya adalah:

  • Pertengkaran dengan rakan-rakan – elakkan sebarang bentuk situasi yang boleh menimbulkan ketidaksenangan di hati semua pihak terutama rakan-rakan
  • Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah – sekiranya ibu bapa marah perasaan dan konsentrasi kita akan terganggu.
  • Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat peperiksaan – abaikan semua perasaan yang boleh menganggu diri anda.
  • Bersikap terlalu yakin - "overconfident". Jangan bersikap overconfident kerana ini akan menjejaskan rasa ingin menyemak semula apa yang anda lakukan.
  • Berprasangka buruk terhadap orang lain – elakkan daripada sifat prasangka lebihkan kepada berbaiksangka kerana ini dapatmembersihkan diri anda,

Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah lah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini seperti bermunajaat, mohon restu ibu bapa dan guru, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan elakkan maksiat.

Para pelajar sekalian,

Apapun yang penting sepanjang lebih kurang sebulan sebelum peperiksaan PMR ini berlangsung, saya menyeru kepada para pelajar marilah kita sama-sama menguatkan semangat dan azam kita untuk meraih kejayaan cemerlang kerana sesungguhnya kecemerlangan itu adalah milik semua orang yang berusaha.

Sekian, terima kasih.

FAKTOR-FAKTOR KEMEROSOTAN PENCAPAIAN AKADEMIK DALAM KALANGAN PELAJAR

Sebagai seorang guru kadang-kadang kita hairan mengapa pencapaian akademik para pelajar kita ada yang semakin merosot. Atau barangkali ketika bersendirian kita terfikir mengapa pencapaian akademik pelajar terutama pelajar lelaki semakin merosot hari demi hari. Berikut saya senaraikan beberapa faktor yang menjadi penyebab kepada kemosotan pencapaian akademik para pelajar setelah dibuat beberapa penelitian secara teliti.

Masalah Peribadi Pelajar
· Kurang Motivasi Diri
· Sikap Malas, Ambil mudah, tidak kisah
· Keyakinan diri rendah
· Pergantungan
· Malu bertanya
· Kurang disiplin

Masalah Keluarga Pelajar
· Ibu bapa tidak ambil tahu/berat
· Kepincangan keluarga
· Masalah ekonomi dan kemiskinan
· Kesibukan bekerja
· Beri kebebasan tiada kawalan
· Bilangan adik-beradik (anak) ramai

Masalah Bersama Rakan-Rakan
· Melepak
· Internet
· Ponteng
· Merokok
· Perlanggaran disiplin
· Berlainan demografi kehidupan
· Kejutan budaya

Masalah Pengajaran Guru
· Tiada unsur kecindan
· Murid dan guru tidak berminat
· Tumpuan hanya pada golongan pandai
· Tidak jelas / tidak faham
· Terlalu cepat / tidak dapat tangkap / analisa
· Sehala
· Tiada alat sokongan
· Tidak dikaitkan dengan murid atau pengalaman guru
· Habiskan sukatan
· Berfokus kepada peperiksaan

Barangkali apa yang saya coretkan ini hanya sebahagian daripada faktor-faktor yang menjadi punca mengapa pencapaian akademik para pelajar semakin merosot. Namun pada saya, setiap permasalahan itu pasti mempunyai jalan penyelesaian terbaik jika kita berusaha untuk mencarinya.

Isnin, 18 Jun 2012

PERISTIWA 2 : PAGI INI - BINA INSAN

Sebaik sahaja klien saya yang pertama meninggalkan saya dengan wajahnya yang cukup ceria dan setelah saya memberi beberapa pandangan (bukan sesi kaunseling lagi sebenarnya), telefon saya pula tiba-tiba berdering. Tertera satu nombor yang tidak biasa pula saya lihat sebelumnya. Tanpa melengahkan masa, saya menjawab panggilan tersebut. Mungkin ada yang mustahak fikir saya. Belum pula sempat saya memberi salam, si pemanggil cepat-cepat memperkenalkan dirinya. Saya segera mencapai buku catatan dan menulis butiran yang disuarakannya.

Setelah berbual kurang lebih 2 minit, saya segera mengetahui bahawa si pemanggil adalah ibu kepada klien saya. Yang juga saya kendalikan kesnya sejak 2 tahun lalu. Banyak yang kami bualkan pasal anaknya. Perbualan dalam telefon itu berkisar agak lama. Barangkali lebih 30 minit. Hinggakan telinga saya terasa tidak berupaya 'menadah' sebegitu lama.

Cuma apa yang ingin saya kongsikan adalah kegembiraan si ibu dengan program-program bina insan yang telah saya kendalikan sepanjang tahun ini. Katanya, "Cikgu, program bina insan ini perlu cikgu teruskan. Saya nampak perubahan anak saya. Lebih-lebih lagi selepas program Kelompok Perbincangan Antara Individu dan Kem Bina Insan. Bila program ni tak ada cikgu, saya tengok anak saya dah mula berubah. Saya tak mahu anak saya kembali seperti dulu cikgu. Tolonglah cikgu. Buat lagi, kalau bukan untuk anak saya tapi untuk anak-anak yang lain."

Sebenarnya saya terkedu. Selepas lebih 2 bulan program-program itu berlalu ada juga orang yang mengakui bahawa program tersebut berjaya dan ada impaknya kepada para peserta. Saya bagai ingin menjerit kegembiraan. Sekurang-kurangnya telah dua tiga orang waris mengakui keberkesanan program ini kepada anak-anak mereka. Saya ingin berkongsi cerita ini sebenarnya, tapi saya tidak tahu pula ingin berkongsi dengan sesiapa. Terasa saya dengan apa yang berlaku sebelum ini ada hikmah yang Allah SWT letakkan. Cuma saya yang tidak tahu hikmahnya. Alhamdulillah!!

PERISTIWA 1 ; PAGI INI

Saya baru sahaja masuk ke Bilik Kaunseling pagi ini. Baru lepas membuka kipas dan juga komputer. Belum pun sempat duduk lagi. Ketika itulah seorang pelajar tiba-tiba masuk ke bilik saya.

" Cikgu, saya nak bagi tahu cikgu ni. Mak saya dah okey sekarang ni. Saya dah tahu kenapa mak saya selalu pukul saya dulu", katanya. Saya merenung wajahnya lama. Lambat benarlah punya otak saya ingin 'memanggil' semula memori tentang pelajar ini.

"Cuba awak duduk dulu. Cerita perlahan-lahan." kata saya cuba memancing pelajar itu selain mengimbau 'siapa' dia dalam keadaan sebegini.

Sebenarnya saya sedikit kaget. Yalah, pagi-pagi didatangi pelajar, tanpa salam terus menghamburkan kata-kata dengan wajahnya yang cukup setia. Pelajar tersebut duduk di kerusi di hadapan saya. Saya turut duduk bersama. Setelah memori saya berjaya menangkap siapa dia, mudah saya berbual dan berinteraksi dengan pelajar ini.

Sebenarnya lebih setahun saya mengendalikan kes pelajar ini. Pernah saya memanggil warisnya datang ke sekolah kerana terdapat lebam-lebam di badan. Kerap juga dia ke bilik saya bercerita dengan jurai air mata. Namun, kasihnya kepada ibunya tidak ada galang ganti. Teringat saya ketika tangannya calar-balar dan saya membawa kesnya ke pengetahuan PK HEM kerana saya rasa ia sudah bukan bidang tugas saya ketika itu. Setiap kali berbicara hanya satu yang dikatanya, "Cikgu, tolong jangan apa-apakan emak saya. Saya sayang mak saya. Saya sanggup hadapi semua ini". Dan kerana itulah simpati saya sentiasa bersama-sama dia. Kerapnya pula saya akan melalui kelasnya pagi-pagi. Sengaja untuk melihat keadaannya pada setiap awal pagi.

Hari ini, apabila dia datang dengan wajah ceria, hati saya turut berbunga. Banyak yang dia ingin ceritakan namun kepuasan sekarang bersarang di hati saya. Kedua-dua ibu dan anak ini sudah bersatu. Si ibu juga sudah mengakui kesilapannya. Saya berasa cukup gembira sebenarnya. Sekurang-kurangnya anak ini sudah boleh diterima oleh ibunya walaupun luka ditinggalkan suami pasti terasa. Hanya kerana raut rupanya yang seiras dengan bekas suami, si ibu selalu berada diluar kawalan ketika berinteraksi dengan dia. Hanya satu doa saya - moga Allah SWT kekalkan kebahagiaan di wajahnya pada hari-hari seterusnya. Insya'Allah.

Sabtu, 16 Jun 2012

HIDUP KEMBALI BERDUA APABILA CUTI BERAKHIR


Cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik cuti sekolah selama 2 minggu sudah pun berakhir. Sesi persekolahan bagi semester kedua 2012 sebenarnya sudah pun bermula seama seminggu. Cepat sungguh. Sebaik sahaja selesai mengikuti kursus Penataraan Psikometrik di Regency Hotel, saya dan sekeluarga terus bergerak ke Kuala Lumpur. Memandangkan kekangan masa, Farhana terpaksa pulang sendirian ke MMU bagi meneruskan perjuangan dan mendaftar diri untuk mengikuti kursus Ijazah Pertama dalam bidang perakaunan. Saya dan keluarga menyusul 3 hari selepas itu untuk menyelesaikan semua perkara yang berkaitan termasuk menghantar barang. Perancangan awal, Mawardi akan turut serta terpaksa juga dirombak saat-saat akhir memandangkan ketika itu kuliah Mawardi sudahpun bermula. Semuanya gara-gara saya perlu menghadiri taklimat dan kursus berkaitan psikometrik pada tarikh yang sama 3 Jun 2012.

Sebenarnya perjalanan ke Kuala Lumpur kali ini memenatkan sungguh. Singgah di Kuala Kangsar sempat menyambut abang saya yang baru selesai menunaikan umrah pada malamnya lebih kurang jam 2 pagi. Berbual-bual seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Cyberjaya jam 8.30 pagi. Sebaik sampai di Kuala Lumpur, sempat juga berjumpa dengan adik saya Abdul Rahman. Berbual-bual dalam masa 30 minit sebelum meneruskan perjalanan ke MMU. Petangnya setelah selesai semua urusan kami meneruskan pula perjalanan ke rumah anak buah saya Nadirah di Kajang untuk mengambil barang-barang Farhana yang ditinggalkan di situ sebelum cuti 3 minggu bermula. Malamnya selepas membawa Irah dan rakan serumahnya menikmati sate Kajang, kami merehatkan diri di sebuah hotel di Kajang.

Kami bergerak meninggalkan Cyberjaya selepas Farhana selesai mengikuti kuliah pada hari Khamis. Kebetulan kuliahnya hanya 1 subjek sahaja dan Farhana mengambil keputusan untuk mengikut saya dan suami balik ke Kuala Kangsar (kembali semula ke Cyberjaya bersama adik saya yang dipanggil Acik pada pagi Ahad 7 Jun 2012). Sebaik kami sampai di kampung, sibuk pula membantu abang saya yang membuat sedikit kenduri kesyukuran lantaran beliau dan keluarga baru kembali dari menunaikan umrah.

Malam itu kami tidur dengan keletihan setelah menempuh perjalanan Alor Setar, Kajang dan Kuala Kangsar yang begitu panjang dan memenatkan. Sebaik bangun paginya (yang agak terlewat daripada biasa), kami bersiap-siap pula untuk balik ke Alor Setar. Banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan tambahan Fatin dan Farah perlu berada di sekolah masing-masing sebelumjam 6.00 petang Sabtu ( Jun 2012).

Apabila kedua-dua puteriku itu kembali ke sekolah masing-masing, maka bermulalah episod kehidupan seperti sebelumnya - kembali berdua. Terasa begitu sunyinya rumah tanpa suara anak-anak yang selama lebih 2 minggu ini bergema di mana-mana. Sunyinya kehidupan hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Namun, perlulah saya dan suami sentiasa bersikap pasrah lantaran keluarnya anak-anak daripada rumah adalah atas tuntutan fardu kifayah. Moga mereka akan mencipta kejayaan demi kejayaan dalam sebuah kehidupan tanpa melupakan batasan agama. Insya'Allah.

Jumaat, 15 Jun 2012

MAWARDI DAN CUTI


Alhamdulillah ketika cuti sekolah kali ini Mawardi turut bercuti seminggu. Kemeriahan di rumah terasa sungguh bermakna dengan kehadiran semua anak saya. Meskipun cuma seminggu tetapi makna cukup besar buat saya. Sepanjang cuti seminggu ini sebenarnya tidak banyak yang dilakukan Mawardi. Kerapnya Mawardi akan keluar rumah bersama rakan-rakannya yang kerap juga datang ke rumah selain menyiapkan tugasan yang masih tertunggak. Selainnya Mawardi banyak pula membantu menguruskan hal adik-adik apabila saya dan abahnya bekerja.

Kebetulan semua ada di rumah, Mawardi turut mecadangkan kami sekeluarga ke Pulau Pinang. Menaiki Bukit Bendera! Kebetulan saya sendiri sudah lebih 30 tahun tidak menjejakkan kaki ke Bukit Bendera. Begitu juga suami. Apabila ada Mawardi bererti adalah orang yang akan membantu abahnya memandu dalam perjalanan yang agak jauh.
Mawardi sebenarnya sudah boleh diharap dalam kerja-kerja membantu seperti itu. Usianya sudah 21 tahun dan sepatutnya sudah boleh menyelesaikan banyak tugasan sebagai ketua keluarga.

Cuma dewasa ini kebanyakan anak-anak akan terus menyambung pengajian sehingga paling tidak ke usia 23 tahun.
Sesekali dalam cuti yang pajang ini, Mawardi akan menolong saya membasuh kain - paling tidak kain bajunya sendiri. Selain itu, kesempatan cuti yang pajang Mawardi turut mengemas bilik tidurnya. Jika tidak dikemas tidak adalah pula orang lain yang akan membantunya mengemas. Seperti yang saya katakan, masa bekerja saya jarang di rumah pada sebelah siang. Cuma malam sahaja saya di rumah itu pun setelah badan terasa begitu keletihan. Jadi jaranglah saya masuk ke bilik anak-anak saya yang mereka tinggalkan.

Namun sekarang, seperti adik-adik yang lain Mawardi sudah kembali ke UiTM - menyambung pengajiannya dan bakal menduduki peperiksaan pula beberapa minggu akan datang. Seperti anak-anak yang lain, untuk Mawardi saya sering mendoakan agar terus belajar menjadi anak yang matang dan dewasa, belajar dan memahami betapa ibu bapa sentiasa berusaha yang terbaik untuk anak-anak. Tingkatkanlah amalan baik dunia mahupun akhirat untuk mencapai kecemerlangan yang akan dibanggakan baik di sisi masyarakat mahupun di sisi Allah SWT. Doa saya akan tetap mengiringi perjalananmu anak-anakku!!

FARHANA DAN CUTI


Cuti sebenarnya sudah lebih seminggu berlalu. Cepat sungguh sedangkan nikmat bercuti itu sebenarnya belum dapat dirasai sepenuhnya. Demikianlah kehidupan selagi kita bernafas dan bekerja. Kita adalah 'hamba' untuk sebuah kehidupan yang kita sendiri warnai. Anak saya Farhana juga begitu. Sejak menyambung pengajian di Multimedia Universiti jaranglah dia berpeluang bercuti lama-lama di rumah. Cuma kali ini cutinya agak panjang berbanding cuti-cuti yang lepas. Adalah lebih kurang 3 minggu bermula 10 Mei hingga 3 Jun.
Sepanjang bercuti itu macam-macam yang dilakukan Farhana. Paling membanggakan saya, minggu pertama Farhana mengambil kesempatan membantu saya mengemas rumah. Yalah..., jarang saya mempunyai ruang masa mengemas. Hari-hari saya banyak dihabiskan di sekolah. Apa yang boleh saya buat apabila balik kerana badan sudah keletihan. Jadi pada minggu pertama Farhana mengemas rumah bermula dari ruang biliknya, dapur sehinggalah ke ruang tamu. Bangga sekejap saya dengan kesungguhan Farhana kali ini.
Pada minggu kedua, kebetulan adik-adik pun belum balik, Farhana mengambil kesempatan menziarahi ibu Allahyarhamah Naimah di Sik bersama-sama rakan-rakannya yang turut bercuti ketika itu. Kemudian timbul pula tabiatnya ingin memasak itu ini. Adalah beberapa jenis masakan kegemaran yang dimasak oleh Farhana ketika cuti kali ini. Memang Farhana sesekali suka juga menyediakan masakan terutama kek dan juga sesekali makanan barat.
Satu yang paling melucukan apabila Farhana cukup kalut ingin mengunting 'blouse' yang ditemui di dalam internet. Akhirnya, saya juga yang terpaksa menyiapkan 'blouse' tersebut kerana manalah Farhana ada bakat dalam bidang jahit-menjahit ini. Hehehe....

Apabila semua adik-beradik balik, termasuk Mawardi yang bercuti selama seminggu, timbul pula minat baru Farhana dan adik-adik. Abang jadi tukang bawa dan mereka tukang ikut. Apa lagi kalau bukan shopping barang-barang keperluan mereka. Macam-macam yang mereka lakukan untuk menghabiskan masa cuti bersama.
Apa pun kini Farhana sudah kembali ke MMU. Menyambung pengajiannya ke peringkat Ijazah Pertama bermula 3 Jun yang lalu. Saya sering mengharapkan agar Farhana akan terus tabah menjalani kehidupannya sebagai mahasiswa. Belajar menghargai setiap apa yang ada dan belajar untuk terus menjadi matang dan dewasa. Mereka adalah anak-anak harapan saya. Yang bakal mewarnai kehidupan pada masa hadapan baik untuk agama, bangsa dan negara. Moga engkau akan terus mencapai kejayaan doa saya akan tetap mengiringi perjalanan hidup kalian!!

Jumaat, 1 Jun 2012

FATIN NAIMAH DAN CUTI

Fatin Naimah adalah anak ketiga saya. Pelajar tingkatan 4 Sains Arab di SMK Dato' Syed Omar. Jika dilihat dari segi sejarah kelahiran dan persekolahan, hanya Fatin yang berbeza dengan anak-anak saya yang lain. Hanya Fatin seorang sahaja yang dilahirkan di Hospital besar Jitra dan hanya Fatin seorang sahaja juga yang menyambung pengajiannya bukan di SMK Agama Kedah. Pada saya, Fatin sememang mempunyai perwatakan sedikit berbeza dengan anak-anak saya yang lain. Jiwanya agak lembut tapi punya semangat cukup tinggi. Cuma Fatin jarang berupaya berjaga hingga larut malam. Selalunya jam 10.00 matanya sudah mula mengantuk.

Namun cuti kali ini saya tengok Fatin kerap juga berjaga malam. Seperti adiknya Farah, ketika saya sudah tidur dia masih lagi berjaga. Macam-macam benda yang dilakukan - paling kerap saya melihat dia membaca novel yang baru sahaja dibeli Isnin lepas. Dua buah novel yang mereka beli campur dengan beberapa buah novel milik kakak nampaknya sudah dihabiskan dalam masa beberapa hari sahaja. Siap boleh menceritakan semula sinopsis yang dibaca kepada kakaknya Farhana dan adiknya Farah. Sampaikan si kakak siap mengulas, "Tak payah baca lagi dah.., Lang dah cerita," disambut ketawa berderai mereka bertiga.

Selain membaca, Fatin paling senang membantu saya membasuh, menjemur dan mengutip pakaian di ampaian. Sambil menonton televisyen (sebenarnya kesemua anak saya jarang menonton televisyen dan yang kerapnya adalah - saya membuka televisyen siaran TV9 untuk meriuhkan keadaan), Fatin akan membantu saya melipat pakaian-pakaian tersebut dan kemudiannya menyusunnya di dalam almari bilik mereka. Jadi pada kesempatan tersebut selalunya pula Fatin akan mengemas bilik tidur mereka. Melipat pakaian-pakaian lama yang dihajatkan untuk disedekahkan kepada orang-orang yang memerlukan.

Sesekali apabila malam, ketika orang lain tidak menggunakan komputer adalah masa Fatin mengadap mukabuku dan 'meng - update' blognya bersama Kak Mimah. Macam-macamlah pula ditulis mereka sehingga kadang-kala saya memaksa mereka masuk tidur kerana malam sudah menganjak ke pagi.

Apabila saya bising berceloteh itu ini, Fatin akan cepat-cepat minta saya berhenti dan berkata, "Sudahlah, Sudahlah" memang saya tahu dia kurang selesa kalau saya berleter panjang dan ada ketikanya dia menunjukkan protesnya jika saya masih bersuara. Hari ini pula, setelah beberapa hari berbincang Fatin setuju pula untuk menghadiri kelas tuisyen Biologi di rumah kawan saya. Sedang motivasi tinggi tiba-tiba kelas tersebut terpaksa pula dibatalkan kerana adik kawan saya itu tiba-tiba dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang. Jadi bagi menggantikan kelas yang tidak jadi Fatin mengambil pula kesempatan menyiapkan karangannya yang masih berbaki.

Begitulah anak saya Fatin menghabiskan cutinya. Kesian juga mereka mengadap buku apabila petang kerapnya pula saya menjamu mereka dengan makan-makan dan minum-minum. Selamat bercuti anak-anakku. Ada lagi seminggu dan kita atur lagi percutian kita selepas saya menghabiskan kursus pada 3 - 5 Jun ini. Selamat bercuti!!


FARAH IZZATI DAN CUTI

Sepanjang seminggu bercuti sempena cuti sekolah penggal pertama, selain ke sekolah saya suka melayan kerenah anak-anak. Sembang-sembang dan berkongsi cerita dengan mereka. Anak saya ada empat orang dan mereka mempunyai pelbagai ragam dan perangai. Apabila berkumpul ramai-ramai seperti ini, pelbagai ragam dapat disaksikan.


Kali ini izinkan saya bercerita tentang Farah Izzati dan cuti penggal 1 2012. Sebelum bercuti, hari Rabu katanya ustaz sudah berikan 3 teks untuk dihafal. Kesemua teks tersebut dalam Bahasa Arab. Kebetulan Farah dan 2 orang rakannya akan mewakili Negeri Kedah dalam pertandingan HIWAR Kebangsaan pada bulan Julai nanti. Jadi sepanjang seminggu bercuti ini kerja Farah adalah menghafal teks-teks yang disediakan.

Selain menghafal, Farah seperti cuti-cuti sebelumnya suka sangat membaca. Kebetulan suami saya juga suka menghabiskan masanya (katanya terapi) di kedai-kedai buku. Selalunya kami sekeluarga akan membeli buku di Hassani Book Store Sg. Petani. Di sinilah anak-anak dan suami saya akan menghabiskan masa 30 minit hingga 1 jam (ada kalanya lebih daripada itu), memilih buku-buku yang mereka minat. Dan kerana itulah juga anak saya Farah juga anak-anak yang lain sangat suka membaca - macam-macam novel dan macam-macam penulis yang sesetengahnya tidak saya kenali.
Selalunya pula sepanjang cuti sebegini, Farah akan menghabiskan masanya membaca sehingga lewat malam - kadang-kala saya sendiri sudah tertidur dan bangun semula tetapi dia masih mengadap buku novelnya.

Sesekali apabila ke dapur, sepanjang cuti ini tugas Farah adalah menyediakan minuman - pagi atau petang. Minuman yang disediakan diletakkan di atas meja dan apabila habis Kak Langnya akan menyuruhnya menambah lagi air yang baru. Seronok juga apabila melihat Farah di dapur.

Selebihnya, selain kerja sekolah yang dibekalkan guru, kerja Farah 'mengup-date' muka bukunya dengan kata-kata indah yang saya sendiri kurang pasti di mana dia perolehi. Ada ketikanya juga saya turut teruja melihat dan membaca kata-kata tersebut yang tentunya memberi kesan pada hati.

Demikian anak saya Farah menghabiskan cuti. Nanti saya akan ceritakan pula bagaimana anak-anak saya yang lain memanafaatkan masa cuti masing-masing dan saya menjadi 'penganalisa' tanpa dibayar. Kerapnya pula apabila saya berceloteh panjang maka akan ada suara-suara menegur saya, "Mak, janganlah asyik baca berita sahaja! Berita pukul berapa ni mak..?" Dan saya pun akan berhenti berceloteh meninggalkan mereka dengan kerja-kerja mereka.

Selamat bercuti anak-anakku - Kita mulakan pula dengan pusingan untuk minggu ke-2. Tapi maaflah yer, saya akan berkursus pula pada 3 - 5 Jun 2012!!

CUTI : KHAMIS 31 MEI

Sekejap sungguh masa berlalu. Cuti penggal pertama sudah seminggu berlalu. Hari ini seperti pagi semalam, saya ke sekolah. Menyiapkan beberapa tugasan yang belum selesai. 8.30 pagi jumpa staf di pejabat - ambil masa seminit dua bertegur-sapa dan kemudiannya ke bilik kaunseling. Bilik kecil dengan keluasan 5' x 6' terasa agak panas. Tambahan pula awning yang baru dipasang menambah kehangatan walaupun pagi masih 'remaja'.

Jika Ahad da
n semalam saya menyiapkan laporan dokumentasi Hari Anugerah Cemerlang 2012, hari ini saya beralih kepada log sesi yang sudah lama tidak disiapkan. Bermula bulan Januari dan akhirnya tamat juga sampai bulan April. Sebaik menyiapkan log bulan April jam ditangan menunjukkan tepat pukul 12.00 tengah hari. Cepat sungguh masa beredar sebelum saya menghubungi anak-anak di rumah. Hari ini berjanji untuk membawa mereka membeli beberapa keperluan peribadi tambahan abang dan kakak bakal menyambung pengajian mereka semula 3 Jun ini. Sementara menunggu kedatangan putera-puteri saya yang berempat iut, sempat pula saya menyiapkan ringkasan aktiviti dan program serta jadual relief kelas sepanjang Januari hingga Mei. Bermanafaat juga masa saya yang hanya kurang lebih 40 minit itu sementara menunggu anak-anak sampai dan kemudian kami berlima bergerak ke Maidin Mall.

Melayan anak-anak shopping ketika hujan lebat turun mencurah. Macam-macam yang dibeli oleh mereka. Kebanya
kannya peralatan peribadi seperti sabun, tuala, pencuci muka, alat tulis dan hanya sedikit sahaja makanan. Empat orang seperti 14 orang dengan pelbagai ragam. Kebetulan suami saya pula hari ini sibuk dengan mesyuarat Tilawah Al-Quran BERNAS yang akan berlangsung pada bulan Julai. Jadi sepanjang tempoh hari ini sayalah yang perlu melayan kerenah anak-anak yang pelbagai. Habis sahaja mereka shopping sempat pula mereka membeli air dan beberapa makanan ringan yang dijual di bahgian kiosk laluan masuk hadapan Maidin.

Saya tahu jam pun sudah menunjukkan pul 2.00 petang. Tent
u perut masing-masing sudah pun berbunyi dan minta diisi. Mengambil kesempatan kebetulan sudah berada di luar, kami berlima menuju pula ke kedai makan untuk mengisi perut yang semakin keroncong. Seharian itu, cuti saya dan anak-anak habis dengan aktiviti keluarga yang santai. Sambil jalan-jalan, window shopping dan makan-makan, kami sempat juga berbual-bual sambil ketawa. Seronoknya cuti - masa ini terasa bernilai semuanya.

Terima kasih Allah atas segala kebahagiaan ini.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...