Ahad, 27 Mei 2012

CUTI : AHAD 27 MEI


Kadang-kadang apabila sekolah cuti seperti ini, selepas solat subuh terfikir-fikir apa yang hendak dimasak untuk dijamah bersama-sama sebagai sarapan pagi. Jika malam tadi anak-anak bising suruh saya menyediakan 'mee udang banjir', pagi ini terasa pula hendak menyediakan nasi lemak dengan sambal bilis, telur rebus dan kacang goreng. Apabila bercuti seperti ini anak-anak selalunya kerap bersungut lapar. Masing-masing tidak aktif bergerak seperti waktu persekolahan menyebabkan perut sentiasa minta diisi. Kebetulan saya pula bercadang untuk ke sekolah seketika untuk menyiapkan beberapa tugasan yang tertunggak. Barangkali dengan menyediakan nasi lemak saya tidak perlu pula menyediakan hidangan tengah hari. Sebaik selesai solat subuh tanpa berlengah saya ke dapur khusus untuk menyediakan nasi lemak versi Halijah....(seronok juga boleh memasak yang sememangnya menjadi kegemaran saya sejak remaja).

Sebaik pulang dari sekolah lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, saya dapati nasi lemak masih berbaki. Fatin mengambil keputusan makan 'mee udang banjir' yang masih berbaki kuahnya. Farhana dan Farah hanya makan nasi lemak. Begitu juga Mawardi. Tengah hari ini kebetulan pula suami saya memenuhi undangan kenduri perkahwinan rakan sepejabatnya. Selain Mawardi juga mengambil kesempatan untuk turut merai rakan sekelasnya yang melangsungkan perkahwinannya pada hari ini. Ketiadaan kedua-dua itu menyebabkan saya tidak berhajat menambah apa-apa menu untuk makanan tngah hai. Tambahan baki lauk (sambal tumis, telur rebus dan yang lain-lain) masih banyak di atas meja. Sementara menunggu masa solat zuhur, saya mengambil kesempatan membaca akhbar mingguan. Sesekali saya suka juga membaca surat khabar dan selalunya hanya pada hari minggu (saya cuma melanggan surat khabar pada hari minggu sahaja), manakala pada hari-hari lainnya saya hanya membaca melalui internet.

Petangnya kurang lebih pukul 3.30, anak saya Farhana mengetuai misinya bersama adik-adik yang lain. Dengan menu 'makaroni goreng' (Farhana sediakan), nugget goreng (Fatin yang sediakan) dan air blackcurrant (dibuat oleh anak bongsu saya - Farah Izzati), maka sepetang bercuti hari ini 27 Mei sudah pun berakhir. Semasa menjamah makanan yang disediakan mereka sempat juga mereka meminta saya menyediakan pula makanan barat - chicken chop! Hehehe...macam-macam anak-anak ini apabila mereka berkumpul. Seharian kerja mereka adalah makan. Tapi yang paling penting saya seronok apabila dapat menyediakan makanan untuk mereka. Bila ye masa yang sesuai untuk Chicken Chop ini???

Kita tunggu masanya yang pasti akan sampai.

Sabtu, 26 Mei 2012

CUTI DAN PERCUTIAN

Datang lagi musim cuti bagi anak-anak pelajar. Kebetulan pada masa yang sama UiTM turut bercuti selama seminggu dan Farhana, anak kedua saya juga masih menghabiskan cutinya yang berbaki lagi seminggu.

Cuti merupakan detik-detik yang ditunggu oleh semua orang. Baik pelajar mahupun guru-guru. Malahan masyarakat umum yang lain. Ketika bermulanya musim cuti persekolahan pelbagai perancangan dilakukan biak oleh keluarga mahupun anak-anak dan anggota masyarakat juga. Ketika cuti sebeginilah biasanya kejiranan kita atau kaum keluarga akan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti melangsungkan perkahwinan. Maka sepanjang musim cuti sekolah kita akan berusaha seboleh mungkin memenuhi pelbagai undangan yang tentunya bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kita.

Musim cuti ini juga ramai yang mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga. Menyusun program-program percutian sebegitu tentunya akan mendatangkan nostalgia cukup indah buat kedua-dua ibubapa dan anak-anak. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan sepanjang percutian bersama. Apa yang penting adalah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan selain berkongsi segala persoalan dan permasalahan.

Ketika bercuti dan kemudiannya melakukan percutian bersama ahli keluarga sudah pasti akan menuntut perbelanjaan yang agak besar. Jika dilihat kepada ekonomi negara dewasa ini dengan kos perbelanjaan yang meningkat sudah pasti ada di antara kita yang kurang mampu untuk membawa anak-anak ke destinasi yang menelan perbelanjaan agak tinggi. Sebenarnya jika kita kaji dan lihat, percutian tidak semestinya dihabiskan dengan kos serta mengunjungi destinasi-destinasi tertentu. Percutian pada dasarnya adalah untuk merehatkan minda yang telah bekerja dalam satu jangka masa agak lama. Maka dalam usaha 'merehatkan' minda tersebut kita perlu bertindak kreatif bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dilakukan dapat diberi 'jiwa dan roh' yang mampu meringankan bebanan emosi, fizikal dan mental kita.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang tentunya menjimatkan kos. Antaranya dengan mengadakan sedikit aktiviti bersama seperti riadah dan berkelah di taman-taman rekreasi, pantai yang berhampiran, sungai yang berdekatan dan lain-lain lagi bersama-sama ahli keluarga pada suatu pagi atau suatu petang. Selain itu, ibu bapa juga boleh menganjurkan acara makan-makan di hadapan rumah - sedikit 'barbeque' dengan beberapa juadah yang disukai anak-anak. Juga boleh membuat kejutan dengan menonton wayang bersama-sama di mana ibu bapa sebelum ini tidak pernah bersedia untuk itu.

Sebenarnya setiap orang di antara kita memerlukan cuti kerana cuti merupakan satu detik sangat berharga untuk dinikmati bersama. terpulang kepada kekreatifan ahli keluarga untuk menjadikan percutian tersebut suatu memori yang indah atau sebaliknya. Ada ketikanya percutian yang menelan kos yang tinggi belum tentu mendatangkan 'kegembiraan' buat semua!

SELAMAT BERCUTI - PASTIKAN CUTI INI MENJADI PERCUTIAN INDAH BUAT SEMUA.

Rabu, 16 Mei 2012

HEMBUSKAN NAFAS KEPUASAN ITU PERLAHAN-LAHAN

(Kutitipkan puisi ini buat semua anak didik dan rakan guru)

Kerana aku telah menjadi manusia
terima kasih guruku atas pengorbananmu
sehingga aku masih setia mengulum restu
menyambung citamu dulu
menyumbang jasa mencurah ilmu.

Mana mungkin bicara semurni tekadmu yang membara
mampu kuabadikan di mana-mana carta perdana
seunggul kental semangatmu yang membara
tanpa erti lelah sendu derita.

Kerana genggammu bertaut kasih sayang yang dalam
rindu yang terpendam
menjadi arkitek manusia berintegriti
menyambung kemilau warisan pertiwi
menjunjung martabat kemulian insan sejagat
membina tamadun umat berdaulat.

Kerana kau guruku
engkau segar di hatiku
kekal dalam doa
kental dalam minda.

Bertatih dalam kurikulum yang panjang
aku belajar menjadi pejuang
meredah peritnya padang pendidikan
demi sebuah kepuasan yang tidak perlu diperhalusi
justreru hanya yang bernama guru sahaja
yang lebih mengerti!

15 Mei 2012 - Jam 2350
(Nukilan - Briey)

HARI GURU - 16 MEI 2012

 Detik dan tarikh keramat ini datang lagi.  Terasa begitu cepat masa berlalu.  Setahun demi setahun  menginjak begitu cepat dan pantas.  Pada detik yang sama tahun-tahun lepas saya akan mencoretkan sesuatu di sini - berkaitan Hari Guru.   
Guru - insan yang begitu mulia.  Itu pandangan peribadi saya.  Saya sangat-sangat menyintai guru-guru saya.  Meskipun sekarang usia saya sudah melebihi 40 tahun.  Tanpa mereka saya tidak mungkin akan kenal tulis baca.  Tidak mungkin akan berada pada kedudukan seperti ini.  Begitu besar pengorbanan mereka.  Sebab itulah kita perlu menghormati para guru, menjaga perhubungan dengan mereka agar ilmu yang diajar akan mendapat berkat.  Guru bukan sahaja ingin membentuk pelajar menjadi insan cemerlang intelek namun, turut cemerlang jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah mereka.  Jadi tugas guru bukan berkisar kepada mengajar tetapi lebih daripada itu.
Tahun ini, saya diberi kepercayaan menguruskan hari guru.  Jika ditanya pada diri sebenarnya tahap kerisauan saya cukup tinggi apabila diberi kepercayaan sebegitu.  Dengan beberapa isu yang timbul, ada orang mengambil kesempatan menggunakan ruang tersebut untuk memburukkan diri.  Saya hanya berserah kepada Allah SWT agar perancangan ini akan bernoktahkan sesuatu yang positif.  Hanya untuk memberi ruang kepada para pelajar belajar mengendalikan majlis formal dan saya berterima kasih kepada barisan pengawas, PRS, Tingkatan 6 juga majlis ketua-ketua tingkatan.  Tanpa mereka, (sebenarnya sokongan dan kerja kuat mereka) sudah pasti apa yang direncanakan tidak dapat berlaku.  Apa pun, kekurangan (saya lebih suka melihat kepada keupayaan dan kejayaan) dalam mengendalikan majlis Sambutan Hari Guru 2012 adalah hasil kekuatan anak-anak ini.  Saya menaruh penuh kepercayaan bahawa mereka jika diberi tanggungjawab akan berupaya merealiasikan sesuatu dengan amat sempurna.  Saya cukup bangga dengan hasil yang mereka persembahkan pada Hari Guru 2012. 
 Bermula dengan acara padang - semua guru tidak kira siapa pun mereka sama-sama menjayakan acara sukaneka.  Dengan Bowling Buah Kelapa, Tuju Tin, Bawa Bola Ping Pong, Isi Air Dalam Botol, Pecah Belon, Semakin Jauh Semakin Sayang dan Kasut Bata - ternyata memberi kelegaan dan keseronokan.  Bukan sahaja kepada murid malahan guru-guru juga.  Jamuan yang dianjurkan oleh kelas-kelas ternyata tidak membosankan.  Diikuti pula perarakan masuk guru-guru ke dewan dengan diketuai Pn. Pengetua - sambutan pelajar diluar jangka, persembahan pentas, montaj dan lain-lain - semuanya menjadikan Hari Guru 2012 amat bermakna.
Terima kasih pada anak-anak saya, yang amat saya banggakan.  Kalianlah yang bakal mewarnai dunia suatu ketika nanti.  Saya yakin, kalian akan berjaya mengharungi kemelut dunia jika yang masalah sekecil itu sudah berjaya diatasi.  Salam kasih sayang buat semua.  Selamat Hari Guru.  Terima kasih cikgu - buat semua guru-guru saya walau di mana juga mereka berada - Cikgu Kornain, Cikgu Hajar, Cikgu Othman, Cikgu Tahir, Cikgu Rahinun, Cikgu Mat Husien, Cikgu Raja (Allahyarham), Cikgu Yusuf, Cikgu Hidzir, Cikgu Jalil, Cikgu Midah (Allahyarhamah) dan semuanya. Tanpa kalian siapalah saya. Saya Sayang  akan Cikgu Saya!!

Isnin, 14 Mei 2012

HARI IBU 13 MEI 2012



   Bagaimana saya ingin memulakan tulisan ini pun saya sendiri kurang pasti.  Yalah..rasa teruja, bangga dan seronok masih lagi terasa mekar di hati.  Petang tadi, saya masih di hadapan komputer di bilik kaunseling sekolah.  Hari pun sudah semakin lewat petang.  Rasa letih juga setelah seharian berhadapan dengan komputer.  Sebaik Rosnah, sahabat saya memohon diri ke bilik guru, saya mengambil keputusan untuk balik.  Sambil keluar, saya menutup tingkap-tingkap di luar bilik kaunseling.  Ketika itulah, seorang lelaki dengan sejambak bunga seperti yang saya tunjukkan di atas menyapa saya; "Puan Halijah Mahmud?"  soalnya dan saya dengan segera menjawab, "Ya, saya?"  "Ada bunga, anak-anak hantar kut..", katanya dan saya menyambut lalu melihat pada kad yang tertera nama anak gadis saya -Farhana!  Sah budak ini sengaja hendak memberi kejutan kepada saya!  "Terima kasih.  Ya... anak," kata saya dan senyum terukir di bibir.


Sememangnya anak saya Farhana selalu membuat kejutan-kejutan serupa itu.  Selalunya dialah yang bakal menjadi 'ketua' dalam melakukan sesuatu.  Barangkali semua ini sudah dirancang terlebih dahulu bersama abang dan adik-adiknya yang lain.  Itu getus saya di dalam hati.  Apa pun bagi saya, mereka adalah anak-anak yang begitu besar ertinya dalam kehidupan saya dan suami.  Tanpa hadiah-hadiah ini pun saya tahu mereka sangat sayang akan saya dan abah mereka.  Itulah sebabnya kami sering mendapat pelbagai bentuk kejutan yang tidak terjangka di fikiran.

Terima kasih kepada anak-anak yang sering mengingati dalam apa juga keadaan.  Emak dan abah pasti mendoakan yang terbaik untuk anak-anak baik di dunia mahu pun di akhirat.  Moga kalian akan terus menjadi anak-anak harapan bangsa, agama dan negara.  Teruskan perjuangan untuk mencapai kebahagian hidup.  Doa kami sentiasa mengiringi perjalanan hidup kalian.  

Terima kasih untuk bunga yang dikirim - 3 kuntum bunga lambang cinta - 'I Love U' ; Emak sayang semua!  Terima kasih!!

Ahad, 13 Mei 2012

HARI ANUGERAH CEMERLANG SMKSB 2012

Sudut Hadapan Pentas
Persembahan Angklong

Bagai Dalam Taman
Hari Anugerah Cemerlang SMKSB sudah pun berlalu pada hari Rabu 9 Mei 2012 yang lalu.  Sebenarnya saya agak mengambil masa untuk menulis tentang perjalanan HAC 2012.  Hendak dikatakan sibuk, tidaklah pula.  Cuma momentum untuk menulis terasa begitu terhambar lantaran beberapa 'peristiwa' yang berlaku.  Pun, peristiwa tersebut tidaklah pula menjadikan saya boleh bermalas-malas begitu sahaja.

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada semua warga kerja SMKSB di atas kejayaan merealisasikan HAC yang cukup hebat pada pandangan mata saya.  Dari bisik-bisik beberapa orang teman-rakan yang hadir ke majlis tersebut, ramai yang melahirkan rasa kagum dan bangga dengan HAC pada kali ini.  Sukar untuk saya menjelaskan mengapa kebanggaan dan kekaguman itu dinyatakan mereka.  Cuma dari cakap-cakap mereka yang sempat saya tangkap di hujung telinga kerana persembahan yang dikatakan mantap.

Sebenarnya saya juga ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Puan Zanifa serta barisan AJK Persembahan yang bertungkus-lumus menjadikan impian sebuah kenyataan.  Saya sebenarnya jika diberi peluang menganugerahkan bintang - tidaklah pula saya lokek untuk memberi 5 bintang kepada keseluruhan persembahan yang telah dibuat oleh anak-anak pelajar.  Hebat! Terus-terang saya nyatakan bahawa persembahan tersebut menjadi lagi hebat dengan nostalgia lagu-lagu Allahyarham Sudirman Hj. Arshad (barangkali kerana saya dibesarkan dengan keasyikan lagu-lagu dendangan Allahyarham - apapun Al-Fatihah untuk Allahyarham Sudirman).  Sentuhan kreativiti tangan Cikgu Zanifa, Cik Nabila, Cikgu Razalana dan banyak lagi yang di belakang tabir itu ternyata begitu menjadi.

Selain persembahan yang hebat, hiasan pentas juga ternyata hebat.  Cikgu Sarimah serta semua jawatankuasa ternyata begitu kreatif memilih lanskap untuk HAC bagi tahun 2012.  Dengan warna hijau, air pancut, lampu - menjadikan dewan seperti sebuah taman yang segar dan hidup; tidak pula jemu mata memandang.  Sebenarnya saya tahu, SMKSB jika diberi tanggungjawab menghias pentas maka tangan-tangan itulah juga yang akan menghasilkan sesuatu yang diluar jangkaan.  Cantik, hidup dan mendamaikan!

Sebenarnya bukan itu sahaja yang harus dipuji, banyak lagi Jawatankuasa yang telah menjadikan HAC 2012 berjalan lancar dan tertib.  Tidaklah pula saya nampak di mana-mana kekurangan sepanjang majlis tersebut berlangsung.  bermula dari sambutannya dengan barisan kadet polis serta unit berunifrom yang lain, bunga manggar, kompang dan tariannya, sajian dari dapur dengan menu yang menyelerakan, kad jemputan dan buku program dengan warna hijau dan coklat yang cukup memikat serta barisan pengacara majlisnya.  Kesemuanya adalah hasil kerjasama dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh seluruh warga SMKSB.  

Sejuta tahniah untuk seluruh warga SMKSB walaupun saya tidak dapat menyebutkan semua nama (kerana saya tidak lupa kepada semua gurunya yang sangat berdedikasi), terutama Puan Pengetua Pn. Hajah Rahinun serta barisan pentadbiran yang sering meletakan kerja buat di barisan pertama dalam perkhidmatan.  Anda semua pasti akan dianugerah Allah SWT ganjaran yang tidak ternilai suatu ketika kelak.  Tahniah! 

Jumaat, 4 Mei 2012

TANGAN YANG MEMBERI VS TANGAN YANG MENERIMA

Seperti rutinnya setiap pagi Jumaat, saya dan suami akan ke pasar.  Membeli seekor-dua ikan meskipun di rumah hanya kami berdua sahaja yang tinggal.  Hujung minggulah biasanya saya mengambil kesempatan memasak - yang lain sedikit pada hari biasa (selalunya pula pada hari-hari bekerja kami kerap makan berasingan - di pejabat masing-masing).  Pagi ini juga seperti pagi-pagi Jumaat yang lain sebaik suami pulang dari masjid seepas kuliah Subuh Jumaat kami keluar ke pasar Jitra.  Begitulah selalunya.  Saya suka jalan-jalan sambil melihat ramai orang menjual pelbagai sayur kampung di perkarangan pasar.  Selain itu saya suka juga membeli rempah-ratus yang disediakan oleh sepasang suami isteri berhadapan tangga naik ke pasar.  Macam-macam yang boleh dibeli, perencah tomyam, kari ikan dan daging, rendang dan lain-lain.  Ikut selera kaum ibu yang teringin menyediakan menu apa untuk keluarga mereka di hujung minggu.
Selepas membeli perencah asam pedas dan kari ikan, saya memasuki ruang membeli ikan dan daging.  Di penjuru tangga naik mata saya tiba-tiba terpandang sesusuk tubuh yang baru beberapa hari lalu (malam sebenarnya pada cuti 1Mei) saya dan suami ternampak 'dia' berdiri tegak dengan baju lengan panjang dan bersongkok di hadapan Maybank Jitra.  Masih muda orang itu.  Apa yang saya perhatikan pemuda itu begitu komitmen terhadap tugasnya - memegang sebuah kotak sambil berdiri menanti orang ramai menghulurkan derma untuk sebuah pertubuhan.  Saya bukan ingin 'menghina' tugas mulia yang dilakukan pemuda tersebut, cuma saya sering tertanya bagaimana seorang lelaki muda, yang nampak terpelajar sanggup menggadai rasa malunya berhadapan dengan orang ramai saban waktu.  Jikalah tugas sebegitu diberikan kepada saya, saya rasa belum pun sempat 10 minit saya sudah beredar dan mengaku kalah.
Pertanyaan dan pertanyaan yang bermain di kotak fikiran saya tidak ternoktah di situ sahaja.   Selepas membeli sedikit keperluan dapur, saya dan suami terus pula ke Bank Muamalat Alor Setar.  Sambil menunggu suami yang melangsaikan urusannya di bank, saya bersandar mengunyah keropok.  Tiba-tiba pintu kereta saya diketuk dari luar.  Sedikit terkejut, saya beralih.  Seorang anak lelaki barangkali baru 11 tahun atau mungkin 12 tahun tercegat di pintu kereta sambil memegang beberapa keping CD.  Tidak tahulah saya CD yang dibawanya sedangkan kepala saya secara spontan menggeleng - respon terhadap isyarat lisan yang diberi oleh anak itu.  Anak kecil itu segera berlalu dengan wajah sedikit kecewa.  Saya dalam terpempan, tidak pula ingin menghulur RM1 atau RM2 kepada anak lelaki itu sebagai simpati saya di pagi Jumaat yang berkat ini.
Sebaik suami melangkah masuk, mulut saya segera mengomel tentang dua insiden yang berlaku di depan mata saya sepagi ini.  Saya bagai merasakan kedua-dua insiden ini mempunyai kaitan dengan suatu sindiket yang menggunakan anak-anak dan para pemuda (yatim atau piatu) untuk mengaut keuntungan.  Bayangkan jika 100 orang yang masuk ke bank setiap hari, jika hanya 10 orang sahaja yang menghulurkan RM2 - maka seorang yang menunggu di hadapan sebuah bank anak memperolehi RM20.  Jika seramai 10 orang ditaburkan di mana-mana bank, pasar, pusar membeli-belah, stesen minyak dan lain-lain maka pendapatan sindikit tersebut mungkin mencecah RM200 sehari.  Jika operasi sebegini berterusan dalam masa sebulan selama 20 hari maka pendapatan bersih tanpa cukai adalah RM4000!!
Entahlah... barangkali saya terlalu kerap mencongak-congak sehingga setiap tangan yang memberi itu saya hitung dan saya kira.  Sedangkan kita sepatutnya membanyakkan amalan sedekah memandangkan tangan yang memberi itu sebenarnya lebih baik daripada yang menerima.  Namun persoalan yang bermain di fikiran saya ini, saya ajak semua pembaca di blog saya fikirkan bersama.  Mungkin saya terlalu emosional sehingga kurang rasional ketika membuat analisa.  Mari kita fikirkan.

Rabu, 2 Mei 2012

TERKEDU

Lewat petang kira-kira 5.20 ptg ketika saya dihubungi wakil PPD tentang kursus TOT untuk guru-guru bimbingan dan kaunseling Daerah Kota Setar, saya menyedari telefon saya berbunyi berkali-kali.  Sebaik habis perbualan tersebut, saya terus menghubungi nombor tertera.  Terkejut dan saya seakan-akan terkedu. 
Barangkali saya tersilap perhitungan.  Barangkali.  Pada saya tidak ada sebarang arahan dalam pertemuan bersama ketua tingkatan pada 30 April 2012 jam 7.40 pg itu, yang saya kendalikan bersama seorang lagi rakan guru.  Pertemuan itu pun dibuat setelah saya dan komuniti Hari Guru bermesyuarat pada 29 April 2012 jam 2.30 ptg dan telah membentang secara 'detail' perancangan kepada Puan Pengetua. 
Saya pernah mengajar di Sekolah Bukit Bintang 1, juga di Sekolah Jalan Batu sebelum ini.  Tidak ada sebarang masalah ketika berhadapan dengan waris dan pelajar.  Pertemuan bersama ketua-ketua tingkatan tersebut telah mengariskan beberapa perkara sempena Hari Guru 2012 iaitu;
  1. Para pelajar berkemampuan dan ikhlas sahaja dan bukan paksaan 
  2. Jangan paksa / desak ibu bapa untuk menyediakan sebarang hadiah hebat untuk guru
  3. Boleh bagi apa-apa sahaja meskipun sebiji coklat, sepucuk surat atau sehelai kertas tisu
  4. Aktiviti ini hanya untuk 'mengajar' pelajar menghargai jasa guru selain 'mengenali' guru-guru yang ada di sekolah.
Sungguh saya hairan mengapa ada waris yang begitu mudah 'melatah' - menghubungi pengetua dan mendesak untuk menghubungi KPM.  Sebagai sebuah institusi saya bertanggungjawab membina pelajar - membentuk mereka menjadi manusia yang sentiasa prihatin, ambil peduli terhadap jasa dan peranan orang lain yang begitu signifikin dengan mereka.  Apakah apa yang dirancang itu sesuatu yang salah?  Entahlah..., saya sendiri masih keliru memikirkan semua ini dan saya tidak pasti sama ada proses pembinaan manusia itu tidak boleh dilakukan di sekolah?  Adakah saya telah melanggar etika perguruan dan tanggungjawab moral saya sebagai seorang guru??? Entah.., saya akan mencari jawapannya esok ketika berhadapan dengan Puan Pengetua!!

Selasa, 1 Mei 2012

Kursus dan Temuduga PRS - Jumaat 27 April 2012



  



 Kursus dan Temuduga untuk ahli-ahli baru telah diadakan pada hari Jumaat 27 April 2012 bermula 7.45 pg hingga 12.00 tengah hari.  Aktiviti telah dijalankan dalam 3 fasa iaitu fasa pertama Taaruf / Salam PRS / Ice Breaking.  Fasa 2 temuduga untuk ahli-ahli baru yang dikendalikan oleh ahli PRS senior.  Aktiviti berhenti rehat untuk makan bersama-sama pada pukul 10.15 pagi dan diteruskan dengan fasa 3 iaitu aktiviti Kenali Siapa Saya dan Halangan Komunikasi.  Kesemua aktiviti berjalan lancar dan ahli-ahli berasa sangat seronok walaupun  aktiviti dijalankan dalam masa yang agak terhad dan hanya dikendalikan oleh seorang guru.  Kesmua ahli sangat berharap agar kursus seperti ini akan terus diadakan sebelum cuti sekolah bermula.
 



Hari Pekerja 1 Mei 2012

Hari ini 1 Mei 2012 semua orang yang bekerja baik di sektor awam mahu pun swasta sedang menikmati cuti sempena Hari Pekerja.  Secara umumnya Hari Pekerja ini merupakan suatu hari yang dinobatkan khusus untuk mengenang jasa seorang kakitangan jabatan atau organisasi baik dalam sektor kerajaan mahu pun yang sebaliknya.  Namun marilah sama-sama kita membuka minda untuk mengenang dan mengimbau sejauh manakah kita sebagai seorang kakitangan telah memberi perkhidmatan yang sebaiknya untuk klien-klien kita sehingga kita berupaya pula mengangkat martabat intitusi yang kita dukung?  Barangkali persoalan ini begitu kompleks dan agak sukar untuk dijawab lantaran kita tidak pernah meletakkan piawaian terhadap sebarang kerja buat kita.  

Sebagai seorang guru saya sering bertanya sejauhmanakah para guru mengamalkan Etika Perguruan dalam usaha membantu meningkatkan profesionalisme perguruan itu sendiri terutama menunaikan tanggungjawab moral seorang guru?   TanggungjawabH moral dibolehlah disamakan dengan akauntabiliti moral yang sering diabaikan apabila tanggungjawab guru dikenalpasti berdasarkan huraian tugas umum di mana tanggungjawab moral guru yang utama ialah mereka (para guru) perlu sentiasa bersedia membekalkan pengajaran yang terbaik dalam mata pelajaran yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya.  Ini kerana para pelajar memerlukan bimbingan daripada seorang guru yang berkebolehan, penyayang dan bertimbangrasa untuk membolehkan mereka mencapai kemajuan dan peningkatan harga diri (Damon, 1996).

Jika kita menyorot kepada tema Hari Guru semenjak 1972 hingga kini,  kita boleh membuat sintesis terhadap rentetan tema-tema Hari Guru ini yang telah meletakkan pelbagai peranan dan tuntutan moral ke atas bahu pendidik antaranya adalah seperti berikut;

  • pembangunan masyarakat dan negara
  • pemaju pendidikan
  • pemangkin dalam bidang sains dan teknologi
  • pembentuk generasi akan datang
  • pemangkin kepada kemajuan rakyat
  • pembekal pendidikan bermutu dan bertaraf dunia
  • pembentuk kesejahteraan insan
  • pengasas budaya membaca
  • pembina budaya ilmu
  • teras bagi kejayaan wawasan
  • penyemai tanggungjawab bersama
Berdasarkan apa yang diperkatakan di atas, sempena Hari Pekerja 2012 ini saya berpendapat dari segi akauntabiliti  moral, guru-guru perlu sentiasa bersedia menerima pandangan dan pendirian pelajar tentang sesuatu isu selagi ia tidak bercanggah dengan agama, polisi KPM dan norma sesuatu masyarakat maksudnya jika guru mengamalkan kaedah paksaan untuk pelajar menerima sesuatu pandangan yang diberikan oleh guru maka guru tersebut dianggap kurang beretika.  Selain itu guru juga perlu menilai pelajar secara adil dan saksama iaitu ada kebolehpercayaan dan kesahan agar penilaian tersebut tidak dipengaruhi oleh sebarang prasangka dan yang ketiga faktor autonomi guru yang jika tidak diaplikasikan secara bijaksana akan membawa implikasi moral kepada guru tersebut kerana menurut French (1993) terdapat lima sumber kuasa yang sepatutnya dilaksanakan oleh seseorang guru iaitu kuasa paksaan, kuasa ganjaran, kuasa yang sah, kuasa kepakaran dan kuasa rujukan.  Oleh itu untuk meningkatkan kualiti guru dalam bilik darjah maka kajian oleh Mitchell dan Kerchner menyatakan bahawa guru perlu mengamalkan empat elemen iaitu buruh perindustrian (industrial labour), seni yang mahir/tinggi (skill craft), persembahan astistik (artistic performance) dan amalan profesional (professional practice).

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...