Rabu, 28 Mac 2012

Pantun dan Fungsinya Dalam Komunikasi (1)

Dari zaman persekolahan menengah dan seterusnya ke universiti, saya sangat meminati puisi Melayu lama terutama pantun. Sesekali apabila membaca saya suka menterjemahkan sesuatu dalam bentuk tulisan sebegini agar dapat dikongsi bersama berkaitan dengan pantun dan peranannya dalam komunikasi. Untuk perkongsian kali pertama ini saya cuba menghuraikan peranan pantun sebagai alat komunikasi berbentuk hiburan.
Sesuai dengan pengertian dan takrifan pantun sebagai alat untuk mengenali pemikiran, budaya, budi malahan lukisan dan gerak hati masyarakat Melayu secara keseluruhannya, maka kita patut melihat fungsi atau peranan yang dimainkan oleh pantun dalam kehidupan bermasyarakat. Sehubungan itu, melalui tulisan ini saya akan cuba mengungkap perihal pentingnya pantun sebagai salah satu alat komunikasi masyarakat Melayu berdasarkan tajuk, “Pantun : Wadah Komunikasi Masyarakat Melayu.” Jika perbandingan secara terperinci dibuat di antara fungsi pantun dan juga fungsi komunikasi, beberapa kesimpulan awal boleh dibuat terutama dari segi persamaan kedua-duanya. Seperti juga komunikasi, pantun juga berperanan sebagai alat hiburan dalam masyarakat, menjadi saluran pendidikan atau nasihat, untuk menjalin hubungan dalam masyarakat, sebagai penyebar informasi, berperanan dalam transmisi budaya masyarakat, agen ekonomi dan juga politik. Namun demikian dalam konteks perbincangan ini, hanya empat fungsi utama pantun dalam komunikasi yang akan diberi penekanan iaitu dari dimensi hiburan, pendidikan dan nasihat, perhubungan dalam masyarakat serta aspek ekonomi dan juga politik.
Pantun Dalam Konteks Hiburan

Memandangkan masyarakat Melayu lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk menghiburkan hati selepas penat bekerja, maka pantun menjadi salah satu medium untuk mereka mengubat lara di hati dan juga melepaskan segala kelelahan sama ada dari segi mental
mahu pun fizikal. Sesuai dengan peranan komunikasi yang bertindak sebagai alat hiburan, pantun juga memainkan peranan yang sama terutama untuk menimbulkan rasa keriangan dalam kehidupan sehari-harian. Beberapa contoh pantun di bawah dapat memperjelaskan lagi secara lebih terperinci bagaimana pantun amat berguna terutama dalam membayangkan rasa gembira yang dialami oleh seseorang, meninggalkan perasaan seronok dan riang terutama di kalangan kanak-kanak serta menimbulkan unsur-unsur jenaka dalam kehidupan. Contohnya;

Anak kera pandai meniti,
Anak ayam disambar helang;
Tidak terkira besarnya hati,
Melihat ibu sudah pulang.

Rawa bangun jalan berliku,
Penuh onak makanan badak;
Gelak senyum rupa kakakku,
Melihat nenek duduk berbedak. (Ismail Hamid, 1987, hal. 236-237)

Selain itu, pantun juga digunakan dalam interaksi antara individu terutama untuk menguji minda seseorang. Selain dapat mencabar ketangkasan seseorang berfikir, pantun dalam konteks ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara individu kerana ia disampaikan dalam besuasana santai. Contohnya dalam perbualan di antara seorang ayah dengan anak, datuk dengan cucu atau pun sesama rakan sebaya. Ini dapat dilihat terutama sekali dalam pantun teka-teki seperti pantun yang diberikan di bawah ini;

Kalau tuan tombak rencana,
Ambil gantang sukatkan pulut;
Kalau tuan bijak laksana,
Apa binatang tiada perut? (Mohd. Yusof Md. Nor, 1984. hal. 84)

Sehari-hari adik ditatih,
Dibawa dia ke rumah abang;
Berapa tinggi terbang Cik Putih,
Ke kerbau juga atau ke kubang. (Dussek dalam Harun Mat Piah, 1989, hal. 347)

Bagi melengkapkan fungsi pantun sebagai alat hiburan, pantun selain digunakan dalam acara berbalas pantun sesama anggota masyarakat, pantun turut juga dinyanyikan sama ada oleh kanak-kanak, pasangan teruna dan dara yang sadang asyik masyhuk dalam alam percintaan mahu pun oleh golongan rang tua. Di dalam nyanyian rakyat contohnya seperti lagu “Rasa Sayang” dan “Suriram” contohnya, penggunaan pantun sebagai lirik lagu ternyata dapat memberikan hiburan yang tidak sedikit kepada seluruh masyarakat Melayu.

Suriram (ram ram)
Suriram yang manis
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis.

Tinggilah tingggi si matahari (suriram)
Anak kerbau mati tertambat (suriram)
Sudahlah lama hamba mencari – sayang
Baru sekarang hamba mendapat.

Suriram (ram ram)
Suriram yang manis
Aduhai suriram sayang
Makin dipandang semakin manis.

Dualah tiga kucing berlari (suriram)
Mana nak sama si kucing belang (suriram)
Dualah tiga sudah kucari – sayang
Mana nak sama abang seorang. (Utusan Pengguna, Jan-Feb. 2008, hal. 14)

Selain pantun digunakan sebagai lirik lagu dalam lagu-lagu rakyat, berikut diketengahkan pula beberapa rangkap pantun yang begitu popular digunakan sebagai sebahagian daripada lirik lagu sehingga menjadi siulan anggota masyarakat dan masih segar dinyanyikan oleh pelbagai lapisan masyarakat berdasarkan kedudukannya.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan. (Dipetik dari filem Gurindam Jiwa)

Timang tinggi-tinggi,
Sampai pucuk atap;
Belum tumbuh gigi,
Sudah pandai baca kitab.

Tepuk amai-amai,
Belalang kupu-kupu;
Tepuk adik pandai,
Upah minum susu. (Ismail Hamid, 1987, hal. 243)

Secara keseluruhannya, pantun telah berjaya memainkan peranannya sebagai hiburan dalam konteks komunikasi dalam kehidupan masyarakat Melayu dengan memasukkan beberapa unsur lain bagi memastikan nilai-nilai estetika di dalam pantun terus terpelihara.

Komunikasi

Mengikut takrifan Kamus Dewan (1996, hal. 698), komunikasi merupakan satu bentuk perhubungan secara langsung atau satu bentuk perhubungan dengan menggunakan perantaraan untuk berbincang, bertukar-tukar pendapat, bercakap atau berbual-bual. Manakala Oxford Fajar Dictionary (2000, hal. 344) mendefinisikan komunikasi atau dalam bahasa Inggerisnya communication sebagai suatu perbuatan menyampaikan, memancarkan, juga mengedarkan sebarang bentuk pesanan dan ingatan dengan menggunakan pelbagai bentuk jaringan atau cara untuk mewujudkan interaksi.
Bagi Mohd. Baharudin Othman dan Mohd, Khairie Ahmad (2003, hal. 3) komunikasi ditafsirkan sebagai satu proses pemahaman maksud yang disampaikan oleh pengirim kepada penerima dengan tujuan kebaikan bersama. Sesuatu proses komunikasi yang tidak mewujudkan sebarang bentuk pemahaman antara dua pihak adalah tidak membawa sebarang makna atau kerana tidak melibatkan keberkesanan dalam proses komunikasi itu sendiri. Manakala Dance (dalam Mohd. Baharudin Othman dan Mohd, Khairie Ahmad, 2003, hal. 2) membahagikan komunikasi kepada 15 aspek yang berbeza yang meliputi konsep seperti simbol, pemahaman, interaksi, pengurangan ketidakpastian, proses, replikasi memori, perubahan sikap, ransangan, niat, kuasa dan lain-lain sama ada dalam bentuk interaksi, perbincangan atau pun berdiam diri. Abdul Rashid Hj. Mohamad (2000, hal. 37), pula menjelaskan komunikasi adalah satu proses hubungan dua hala sama ada berlaku dalam bentuk lisan (verbal) atau pun bukan lisan (non-verbal) yang mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menyampaikan sesuatu mesej, perasaan, idea dan fikiran dari seorang individu (penyampai) kepada individu yang lain (penerima). Beliau juga menegaskan bahawa mesej yang disampaikan hendaklah mengandungi set-set simbol tertentu yang mengandungi makna atau maksud seperti perkataan, mimik muka, gerak geri badan, nombor, nada suara ataupun pergerakan badan secara keseluruhannya yang boleh diterjemahkan mengikut pemahaman individu yang menerima mesej tersebut.
Secara kesimpulannya, komunikasi adalah satu bentuk pertukaran idea dan maklumat sama ada secara verbal atau pun non-verbal antara individu dengan individu atau sebilangan individu bagi tujuan interaksi atau perhubungan dalam mewarnai kehidupan sehari-harian.

Selasa, 27 Mac 2012

Neurosis

Entah kenapa ketika membaca beberapa artikel lama sewaktu pengajian, saya berminat untuk berkongsi beberapa bahan bacaan dan kajian yang telah saya dan rakan-rakan lakukan. Antara lain berkaitan dengan penyakit mental dan salah satunya adalah neurosis.

Sebenarnya apakah itu neurosis? Neurosis ialah beberapa reaksi emosi yang tak normal terhadap tekanan yang dialami oleh sesuatu personaliti yang mempunyai kecenderungan untuk menunjukkan reaksi sedemikian. Neurosis terjadi apabila reaksi menjadi tak normal apabila melebihi had biasa dan berpanjangan sehingga pesakit atau penderita mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan, kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka. Namun begitu, neurosis mengganggu fungsi harian pesakit atau penderita. ICD 9 menyenaraikan beberapa jenis neurosis iaitu kemurungan, kebimbangan, histeria, kemurungan neurotik, neurosis obsesif-kompulsif, fobia dan sebagainya.

Kemurungan
Kemurungan terjadi akibat kehilangan seseorang atau sesuatu yang disayangi atau kegagalan mencapai atau memperoleh sesuatu yang dihayati. Sesuatu kemurungan dianggap tidak normal apabila terjadi dalam tempoh yang panjang hingga individu terbabit tidak dapat berfungsi atau cuba mencedarakan diri sendiri. Di antara simptom-simptom atau tanda-tanda kemurungan ialah pesakit atau penderita mengalami perasaan sedih serta putus asa. Pesakit atau penderita juga mengalami fikiran yang negatif dan pesimis. Pesakit atau penderita kemurungan sering menghadapi hilang selera makan dan kurang berminat dengan aktiviti kegemarannya. Seseorang pesakit atau penderita juga akan menjauhi atau kurang berminat dalam pergaulan sosial dan tumpuan kerja terjejas. Selain itu, pesakit atau penderita kemurungan sering mengalami kesukaran untuk tidur atau tidur tidak nyenyak serta bangun awal. Di samping itu, simptom-simptom lain pesakit mempunyai fikiran atau niat untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.

Kebimbangan
Kebimbangan boleh ditakrifkan sebagai satu keadaan yang tidak menyenangkan. Pesakit atau penderita kebimbangan akan merasa tegang dan risau seolah-olah sesuatu pekara yang buruk
akan berlaku meskipun ia tidak pasti. Kebimbingan terjadi akibat reaksi ego kepada ancaman di mana ia berpunca daripada jiwa bawah sedar. Ancaman ini berupa impuls, idea atau ingatan daripada jiwa bawah sedar yang tidak dapat diterima oleh ego yang kini cuba memasuki jiwa sedar. Diantara simptom-simptom atau tanda-tanda kebimbangan ialah kadar penafasan dan
degupan jantung seseorang akan bertambah, kekeringan mulut, berpeluh, kecut perut, dan kaki tangan menjadi sejuk. Pesakit atau penderita juga akan mengalami kegelisahan dan panik.

Penyakit Mental

Sejak kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai kejadian trajis akibat tekanan perasaan dan emosi baik di kalangan wanita yang bergelar ibu mahupun di kalangan lelaki sebagai seorang anak, bapa juga anggota masyarakat. Tentunya masih segar di ingatan erhubung dengan kematian Muhammad Alif Hakimi, 6, dan Muhammad Alif Hazimi, 2, yang mati dibunuh oleh ibunya sendiri. Kejadian seumpama itu bukan yang pertama dan yang terakhir dalam masyarakat kita. Belumpun reda kejadian yang menimpa dua beradik itu, kita sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi insiden terbaru iaitu seorang bayi telah dijatuhkan ke dalam air oleh bapa saudaranya sendiri. Sebenarnya jika diteliti secara terperinci banyak lagi kejadian-kejadian lain yang meninggalkan kesan begitu mendalam dalam jiwa kemanusiaan kita yang normal akibat kecelaruan psikologikal yang dihadapi oleh individu yang lain.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (dalam laman web infosihat.gov.my diakses pada 30 Julai 2007), prevalen pesakit mental dan masalah mental di kalangan orang dewasa adalah 10.7% di mana golongan wanita mencatatkan 1.5 kali kadar prevalen lebih tinggi berbanding dengan lelaki dewasa. Prevalen penyakit mental dan masalah mental di kalangan warga tua adalah 26.0 peratus, manakala di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 15.5 peratus. Perangkaan dan peratusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini membuktikan bahawa penyakit mental dan masalah mental menjadi satu wabak yang jika tidak ditangani dengan bijak akan menjadi penyakit yang kronik.

Kajian membuktikan bahawa seseorang individu yang mempunyai harga diri yang tinggi, boleh berkomunikasi secara bijak dan efektif, mendapat sokongan sosial yang kuat daripada orang-orang yang signifikan dengannya akan mempunyai kemampuan untuk mempromosikan kesihatan mentalnya dengan baik. Sebenarnya kesihatan mental yang kurang dalam diri seseorang individu akan menghasilkan impak negatif sama ada kepada individu itu sendiri, keluarganya juga masyarakat di sekeliling individu tersebut.

Seperti yang semua ketahui, kesihatan adalah satu anugerah Allah SWT yang amat berharga kepada setiap individu. Oleh itu,tahap kesihatan seseorang harus diberikan perhatian dan penjagaan sebaik mungkin. Menurut Syed Hassan Al-Mashoor dan Raihanah Abdullah (1993), kesihatan merangkumi tiga aspek penting iaitu kesihatan fizikal atau jasmani, kesihatan mental atau rohani dan kesihatan sosial. Ini bermakna individu yang ingin mencapai tahap kesihatan optimum, haruslah sihat dalam ketiga-tiga aspek ini. Buktinya, individu yang mengalami gangguan emosi atau mental akan memberikan kesan kepada aspek fizikalnya. Begitu jugalah sebaliknya.

Dewasa ini penyakit mental sudah menjadi suatu senario serius yang membelenggu kehidupan masyarakat moden pasca merdeka. Gelaran “orang gila”, “orang sewel”, “kepala tidak betul”,“mereng”, “tiga suku” dan pelbagai nama lain yang sering dikaitkan dengan mereka yang mempunyai masalah mental. Malah Bandar Tampoi di Johor dan Tanjung Rambutan di Perak terlalu sinomim sebagai tempat orang sakit mental. Manakala menurut sumber internet berkaitan penyakit mental ini http://www.geocities.com/HotSpring/Oasis/5150/azh.html, Alexander dan Selesnick dalam buku mereka “History of Psychiatry” pada tahun 1966 menyatakan pesakit-pesakit mental wujud untuk ditakuti, dimarahi, diketawakan dan disiksa. Sayangnya hampir 30 tahun kemudian sikap manusia terhadap pesakit mental masih tidak berubah. Inilah pandangan negatif yang dilemparkan oleh masyarakat terhadap mereka yang mengalami masalah mental ini. Pada persepsi kanak-kanak pula, orang yang berpenyakit mental ini perlu dijauhi kerana mereka telah diserapkan pengetahuan yang salah bahawa ‘orang gila’ adalah berbahaya.
Stigma masyarakat terhadap penyakit mental kadang kala menyebabkan ahli keluarga mengalami tekanan. Ini kerana akibat dari salah faham mengenai penyakit mental, pesakit dan keluarga mereka kadang-kadang dicemuh dan disisih dalam masyarakat. Situasi inilah yang menyebabkan kebanyakan ahli keluarga rasa malu untuk menerima ketentuan bahawa ada ahli keluarga yang menghidapi penyakit mental. Stigma ini berlaku disebabkan kurangnya kefahaman, pengetahuaan dan salah anggapan masyarakat terhadap penyakit dan gangguan yang dialami mereka. Menurut Wagner dan Tan dalam Mahmood Nazar Mohamed (2005), masyarakat kita sering menghubungkaitkan penyakit mental dengan kuasa di luar kawalan manusia seperti hantu, jin, syaitan dan makhluk-makhluk halus. Maka, seorang bomoh atau dukun dijadikan pakar rujuk mereka yang ‘dirasuk’ ini.
Penyakit mental adalah istilah umum yang merujuk kepada sekumpulan penyakit-penyakit mental. Individu yang mendapat penyakit mental akan mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental ini boleh berbeza dari segi tahap keterukannya, jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan. Persoalannya mengapakah penyakit mental ini terjadi? Jika ditinjau pendapat sesetengah pihak pada zaman dahulu, penyakit mental atau sakit otak adalah berpunca daripada roh jahat yang terdapat di dalam otak seseorang individu. Namun begitu menurut Alexander FG, Selesnick S.T (dalam geocities.com diakses pada 21 Ogos 2007), penyakit mental merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh faktor genetik atau keturunan. Pesakit-pesakit mental selalunya amat ditakuti, sering dimarahi, diketawakan, serta disiksa sama ada oleh kaum keluarga mahupun oleh anggota masyarakat.

Oleh kerana pandangan anggota keluarga dan masyarakat terhadap pesakit-pesakit mental sebagai negatif maka mereka selalunya dikurung di tempat-tempat tertentu untuk diasingkan daripada masyarakat selain menghindarkan perasaan malu di kalangan ahli keluarga. Manakala menurut Sigmund Freud (1882), manusia banyak menyimpan ingatan dan perasaan tersembunyi dalam otak mereka. Ingatan dan perasan yang buruk akan tertanam jauh di dalam otaknya dan biasanya ingatan serta perasaan itu tidak dapat diingati. Ini merupakan salah satu punca mengapa seseorang itu kemudiannya mendapat penyakit otak atau pun penyakit mental.

Sabtu, 24 Mac 2012

PEKAN KATI

Jika saya bertanya pada orang tentu ramai yang kurang tahu di mana letaknya Pekan Kati. Ya lah, Kati hanya sebuah pekan kecil yang entah-entah tidak ada dalam capaian satelit. Namun sebagai anak yang dilahirkan dan dibesarkan di pekan ini, saya berbangga kerana menjadi warga Pekan Kati. Pekan kecil yang penuh dengan keharmonian dan kasih sayang.
Saya masih ingat, dulu-dulu ketika saya kecil berusia 7 tahun, saya di hantar bersekolah rendah di Pekan Kati. Bangunan sekolah rendah darjah 1 terletak betul-betul di tengah Pekan Kati. Bangunan sekolah itu bersebelahan dengan rumah Cikgu Zainah (kalau tidak silap saya itulah namanya - sudah lama Cikgu Zainah kembali ke rahmatullah). Tapi sekarang tapak yang dulunya menjadi bangunan sekolah sudah pun berubah. Namun rumah Cikgu Zainah masih utuh di situ walau pun cikgu saya itu sudah lama tiada.
Pekan Kati hanya sebuah pekan kecil. Dulu masa sekolah (rendah dan menengah) kami kerap singgah di Pekan Kati. Terutama waktu pulang dari sekolah. Sambil menunggu bas kami sempat singgah di Kedah Ah Ba, kedai Bala Krishnan dan juga kedai yang menjual ais kacang di situ (lupa pulak siapa nama tuan kedai itu). Seronoknya sebab kami sudah biasa dengan tuan punya kedai dan mereka juga turut mengenali kami termasuk ibu bapa walau pun jarak Kati dengan rumah agak jauh.
Sebenarnya banyak nostalgia yang tertinggal di pekan kecil ini. Kawan-kawan saya, dari sekolah rendah hingga menengah berasal dari pekan ini. Shida, Basha, Maizah, Mazailah, Zakiah, Hayati, dan ramai lagi adalah teman-teman suka duka ketika di sekolah. Kemudian datang kawan-kawan baru dari sekolah rendah berhampiran - Yati, Kamariah, Akma, Puteh, Maznah, Zukiah, Umi dan lain-lain. Termasuk teman-teman lelaki yang bijak dan pandai mengaji seperti Rauf, Hassan, Johari, Junaidi, Azizan, Hatta dan banyak lagi nama yang tidak dapat saya tuliskan. Kami membesar bersama-sama tanpa ada persengketaan. Seronok masa itu sehinggalah masing-masing di antara kami membawa haluan selepas tamat SPM. Ada yang menyambung pengajian ke tingkatan 6 dan tidak kurang juga yang terus ke menara gading. Masing-masing membawa haluan - meninggalkan Pekan Kati yang begitu banyak kenangan jika ingin dinukilkan.
Kini Pekan Kati seumpama sebuah pekan mati. Sebaik lebuhraya timur barat yang menghubungkan Kuala Kangsar, Lenggong dan Grik dibuka, Pekan Kati hanya dikunjungi penduduk setempat. Untuk ke Kuala Kangsar juga nampaknya penduduk Pekan Kati menghadapi sedikit masalah. Jika dulu ada bas 'red-yellow' yang singgah saban waktu, kini perkhidmatan itu tidak semeriah dahulu. Begitu juga bas yang melalui kampong Berala, Temong, Ribu dan Beluru - nampaknya bas henti-henti itu juga semakin 'malas' berfungsi. Jika ingin ke Kuala Kangsar dari Pekan Kati ada penduduk yang terpaksa menyewa kereta atau pergi sendiri.
Sebenarnya bukan itu sahaja yang berubah, rumah anak-anak yatim di atas bukit berhadapan dengan rumah Shida juga tidak semeriah pentadbirannya yang dahulu. Entah kenapa ketika balik kampong kali ini saya melihat rumah itu seperti sudah hilang seri. Banyak sebenarnya yang telah berubah di Pekan Kati. Bukan setakat bangunan malahan penduduknya juga. Sesekali saya amat teringin menyusuri Pekan Kati - menikmati 'pecal' di gerai Kak Nor seperti mana kami menikmatinya sebaik habis peperiksaan SPM puluhan tahun dahulu.
Pernah sekali keharmonian Pekan Kati tergugat tiba-tiba beberapa tahun lalu. Itu pun ketika berlaku peristiwa Al Maunah yang membawa Kati ke seluruh negara. Gempar seketika dan kemudian Kati balik kepada kehidupannya yang sediakala. Tenang, damai dan penuh keharmonian. Namun saya sentiasa berharap agar Pekan Kati terus berkembang, aman dan damai tanpa sebarang gangguan hasil kerancakan pertumbuhan pembangunan.

Jumaat, 23 Mac 2012

Kuala Kangsar


Dilahirkan kira-kira 45 tahun dahulu, Kuala Kangsar tetap mekar di hatiku meski aku tidak lagi bermastautin di sana. Sebenarnya aku masih mempunyai kakak, abang dan adik di kampong kelahiranku, Kati. Selain mereka, keluarga sebelah bapa dan ibuku juga masih di sana. Cuma sebaik sahaja berkahwin aku meninggalkan Bandar Diraja Kuala Kangsar kerana mengikut suami ke utara Tanah Air. Bekerja dan seterusnya menetap di Alor Setar. Malah kemudiannya melahirkan seorang putera dan 3 puteri di sini.
Meskipun begitu lama meninggalkan Kuala Kangsar namun bagiku Kuala Kangsar cukup banyak menyimpan memori ketika aku melangkah ke alam remaja. Aku masih ingat semasa kecil, sekiranya ingin ke Kuala Kangsar emak akan membawa kami menaiki bas. Sebelum balik kami sempat menjamu selera makan laksa dan ais kacang di warung tepi jalan. Kalau tidak menjamah laksa dan ais kacang di situ sperti tidak lengkap perjalanan ke Kuala Kangsar. Sebenarnya bukan kami sahaja yang akan singgah di gerai tepi jalan itu. Semua orang baik dari Karai, Sayong, Ribu, Lubuk Merbau semuanya akan singgah di situ dahulu. Kiranya gerai tepi jalan dekat jam besar itu tempat pertemuan - nadi Kuala Kangsar zaman itu. Sebenarnya dulu Kuala Kangsar bukan seperti sekarang. Gerai menjual laksa dan ais kacang cukup hampir dengan bulatan hala ke Bukit Candan dan berhampiran pejabat pos. Di bahagian depannya ada deretan kedai. Di situlah aku menunggu bas Pak Nun bersama-sama kawan-kawan untuk ke Sekolah Menengah Bukit Merchu ketika menyambung pelajaran ke Tingkatan 6.
Namun sekarang Kuala Kangsar sudah banyak berubah, reka bentuk dan bangunannya sudah jauh maju berbanding dulu. Gerai laksa dan ais kacang sudah tidak ada di kawasan yang aku katakan tadi. Malahan bertambah lagi beberapa gerai di lembah dalam satu bangunan yang cukup indah. Ramai orang akan ke 'lembah' setiap kali ke Kuala Kangsar. Sambil membeli-belah labu sayong yang begitu popular di Kuala Kangsar, ada juga orang membawa anak mereka menaiki bot menyusuri Sungai Perak - melihat keindahan pekan Kuala Kangsar dan juga istana Iskandariah yang gah tersergam di atas bukit. Cantik dan mempersona.
Demikianlah Kuala Kangsar tempat aku dilahirkan kira-kira 45 tahun dahulu. Meski telah meninggalkannya begitu lama namun, Kuala Kangsar tetap segar dalam ingatan. Bak kata orang 'tempat jatuh lagi dikenang...".. Moga Kuala Kangsar akan terus berkembang sesuai dengan perkembangan dan peredaran zaman..

Khamis, 22 Mac 2012

Kesabaran

Barangkali kita semua pernah terkandas dalam kesesakan jalan.  Hingga ada yang membunyikan 'hon' tanpa henti.  Atau yang memintas kenderaan lain lantaran tidak sabar menunggu begitu lama.  Tidak kurang juga yang marah-marah kerana 'seksa' dan 'sakit'nya menunggu.  Atau barangkali ada juga yang balik ke rumah marah-marah.  Membebel sepanjang hari dengan rasa kurang selesa.  Malahan ada yang selera makannya terus berkurangan atau makan tidak cukup pinggan!  Lantaran rasa marah dan kesabarannya semakin hilang.

 Demikian situasi apabila minda kita sedikit tergugat.  Hati menjadi tidak tenang malahan jantung ketika itu bergolak kencang.   Kesabaran adalah merupakan ketenangan yang datang dari hati.  Kesabaran bukan boleh dilahirkan tiba-tiba tetapi boleh dibentuk dan dipelihara.  Dijaga dan dibelai agar dapat terus berkembang menjadi nadi sebuah kehidupan.  Menanam rasa sabar dalam diri memerlukan rasa  luhur yang lahir dari hati dan bukan dibuat-buat kerana ingin menunjuk-nunjuk.  Sekiranya rasa sabar itu hanya untuk ditunjukkan kepada orang lain maka, lama kelamaan ia akan membarah, membengkak dan menanah lalu menghasilkan sebuah tragedi - yang mungkin meledak sehingga timbulnya sebuah konflik.

Kita barangkali biasa melihat, menonton atau barangkali juga membaca - bagaimana seorang ibu yang penyayang tiba-tiba bertukar garang.  Atau seorang guru yang prihatin tiba-tiba menimbulkan kegemparan - mencederakan pelajar.  Juga seorang anak tiba-tiba mengamuk - mengugut dan membunuh.  Persoalannya mengapakah semua ini tiba-tiba meletus sedangkan sebelumnya pokok tidak langsung bergoyang?  Sepintas lalu apabila kita melihat kepada setiap insiden yang berlaku semuanya berpunca daripada tahap kesabaran yang semakin hilang.  Manusia semakin terjebak dengan konflik kehidupan yang menuntut kita berperanan serta berfungsi dalam pelbagai situasi.  Malahan perlu pula memenuhi pelbagai tanggungjawab dalam apa juga cara dan rasa.  Setiap peranan dan tanggungjawab itu sentiasa meminta hak-hak mereka tanpa memeikirkan kekuatan dan kemampuan setiap antara kita.  

Seandainya kekuatan diri tidak disemai dengan sejuta kesabaran pastinya pelbagai isu yang diutarakan di atas akan sentiasa berulang.  Malahan mungkin menjadi lebih kronik kerana ramai diantara kita tidak dapat meluahkan apa yang dirasa.  Sebenarnya sabar itu satu perkataan yang cukup ringkas namun mempunyai impak yang cukup besar kepada setiap kita.  Tanpa adanya sifat sabar itu kita akan sentiasa berada dalam keadaan keluh-kesah, resah dan gundah.  Sabar dapat 'memandu' kita berada dalam keadaan aman dan bahagia - malahan tidak sentiasa berprasangka.  Kerana; 

  1. Dengan sifat sabar ini, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.

  2. Dengan sifat sabar ini, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.

  3. Dengan sifat sabar ini, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.

  4. Dengan sifat sabar ini, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.

  5. Dengan sifat sabar ini juga, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, 'sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'.

Justeru marilah kita menanam rasa sabar kerana kesabaran itu mengandungi nikmat yang tidak dapat diucap.

Rabu, 7 Mac 2012

GENERASI Z

Kelmarin 6 Mac selepas mengikuti Kursus LDP di dewan sekolah dan turut serta menemani penceramah Encik Zainol Abidin Ishak dan pengurusan menjamah juadah yang disediakan, kami sempat berbicara tentang Generasi Z. Mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah pula golongan generasi Z ini, sedangkan Genereasi Y juga belum habis diperkatakan orang.

Seperti yang saya pernah katakan Generasi X, Y dan Z adalah satu kaedah untuk membezakan kelompok individu yang dilahirkan pada zaman atau tahun tertentu. Mereka ini mempunyai ciri-ciri tertentu yang memudahkan kita untuk mendekati mereka. Jika sekarang ini kita berhadapan dengan generasi Y yang berusia antara 15 tahun hingga 33 tahun iaitu kira-kira 21% dari keseluruhan manusia di dunia, generasi Z pula terdiri daripada 38% individu iaitu yang lahir antara tahun 1998 hingga kini.

Generasi Z merupakan generasi yang lahir dan hidup dengan penuh kemanjaan dan keselesaan, diberi dan dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat, menikmati suasana pengajaran dan pembelajaran yang cukup selesa, disaluti pakaian mahal dan berjenama serta memiliki pelbagai gajet canggih yang kurang dimiliki generasi X dan Baby Bloom. Jadi, generasi Z begitu jauh kehadapan kerana kebolehan mereka mengakses dan mendapatkan maklumat hanya dengan meng'google', menonton youtube dan bermain pelbagai permainan secara 'online'.

Yang menjadi persoalannya kini bagaimana kita golongan dewasa ini dapat mencari alternatif terbaik untuk mendidik generasi Y dan juga Z agar dapat tumbuh dan hidup berpaksikan kebenaran dan beragama. Kita juga perlu memikirkan satu cara bagaimana hendak menyebarkan ilmu mengikut kondisi dan situasi generasi ini yang begitu kompleks sifatnya? Tentulah kita mahu agar teknologi maklumat yang ada dapat mereka gunakan untuk memperkasakan iman dan memperkukuhkan amalan mereka? Sesungguhnya generasi yang terdahulu telah mempersiapkan yang terbaik untuk kita hari ini. Maka menjadi tanggungjawab kita melangsungkannya demi generasi kini dan akan datang.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...