Sabtu, 28 Januari 2012

28 JANUARI 2012 – ULANG TAHUN KE – 22




Izinkan saya berkongsi sedikit kegembiraan dan rasa syukur saya di ruangan ini. Bukanlah rasa kebanggaan namun lebih kepada ‘terima kasih’ yang tidak ternilai atas segala yang dianugerahkan Allah SWT. Hari ini sebenarnya genap 22 tahun usia perkahwinan saya dan suami Mohammad Sobri Daud. Sepanjang detik perjalanan itu, banyak benar cerita suka duka, susah-senang yang telah kami tempuhi bersama. Alhamdulillah, kami berjaya juga mengharunginya hingga ke detik ini.


Jika diimbas kembali nostalgia sepanjang 22 tahun dahulu, saya dan suami tidak mempunyai apa-apa. Lantaran kami bukanlah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya-raya. Kehidupan yang serba sederhana. Alhamdulillah, sekarang rasanya kami sedikit selesa – ada anjakan paradigm dalam kehidupan berkeluarga. Anak-anak semuanya sudah menginjak ke alam dewasa. Mawardi yang lahir sebulan sebelum ulang tahun pertama perkahwinan kami kini sudah berusia 21 tahun. Insya’allah jika diizinkan Allah SWT hujung tahun ini Mawardi akan menamatkan pengajian Ijazah Pertamanya dalam bidang Pengurusan Matematik. Manakala Farhana yang lahir 3 tahun selepas Mawardi kini sedang mengikuti kelas Foundation di Multimedia Universiti Cyberjaya dalam bidang Perakauan. Fatin Naimah sudahpun berada di tingkatan Empat manakala Farah Izzati Tingkatan 2.

Dari segi kerjaya saya yang bermula sebagai seorang guru sekolah rendah kini sudah memiliki segulung ijazah dan suami juga rasanya cukup selesa dengan pekerjaannya sebagai Penyelia Kewangan di BERNAS. Saya ingin mengucapkan kesyukuran ini kepada Allah SWT atas segala nikmat yang diberikanNya. Moga warna-warna kebahagiaan akan terus bersama kami sehingga detik kehidupan kami terhenti. Terima kasih Ya Allah atas segala yang Kau berikan untuk kami sekeluarga. Alhamdulilah.

Khamis, 26 Januari 2012

BERKONGSI KENANGAN





Minggu Orientasi Pelajar Tingkatan 1 dari 3 - 5 Jnuari 2012 (7.30 pg - 4.30 ptg). Ketika menjalani aktiviti Kemahiran Belajar - menjawab soal selidik dan membina menara. Seronoknya mereka dapat menyiapkan menara dalam masa yang ditetapkan. Tahniah bagi yang berjaya!!! Anda boleh lakukan yang terbaik meskipun masa cukup terbatas. Manusia perlu diberi sedikit 'tekanan' untuk bergerak maju ke hadapan.








Orientasi PelajarTingkatan 4 pada 8 - 9 Januari 2012. Pelajar-pelajar ketika aktiviti Personaliti, Pencapaian dan Soal Selidik Pemilihan Kerjaya. Semuanya asyik menjawab dan kemudian memilih aliran yang bersesuaian dengan minat, personaliti dan pencapaian mereka.








Kursus Kepimpinan Pengawas Fasa 1 di Bilik APD dan Bawah anjung Petah Bicara. Banyak lagi pendedahan perlu diberi kepada para pengawas SMKSB bagi membolehkan mereka berdiri menjadi pemimpin berkaliber satu ketika nanti. Tahniah bagi yang dapat menaikkan straw dan cuba lagi pada Fasa 2 bagi yang belum berjaya.








2012 - SEBULAN BERLALU

Cepat sungguh masa berlalu. Sedar atau tidak, mahu atau sebaiknya hari ini Januari 2012 sudah menginjak ke angka 26. Bererti ada lebih kurang 5 hari sebelum Februari datang menjengah. Begitulah peredaran masa. Cepat atau lambat pasti akan berlari meninggalkan kita. Cuma, kadang-kadang saya sering tertanya apakah yang telah saya lakukan sepanjang 26 hari yang berlalu itu? Menulis..., tidak banyak pula yang saya hasilkan. Membaca? Adalah satu dua buku yang saya khatam, selainnya hanya artikel-artikel pendek. Entah apalah yang saya sibukkan, saya sendiri kurang arif. Cuma awal Januari lalu saya terlibat mengendalikan Oreintasi Tingkatan 1 sepenuhnya selama 3 hari - siap saya berada di sekolah sehingga 5.00 ptg. dari 3hb hingga 5hb.

Minggu berikutnya saya mengendalikan pula Orientasi Pelajar Tingakatan 4 - memberi pendedahan berkaitan personaliti dan pemilihan kerjaya. Ditambah dengan mesyuarat HEM serta mengendalikan pula Kursus Kepimpinan Pengawas Fasa 1. Demikiannlah kesibukan dalam menguruskan kerja. Namun dalam kekalutan itu, saya sempat juga menguruskan pemakaian uniform PRS - perbincangan dengan PK HEM dan permohonan kepada Pn. Pengetua, mencari kedai yang dapat menyediakan kain secukupnya untuk 40 orang ahli PRS - yang akan berpakaian lengkap purple tua dan muda mulai 6 Februari ini.

Cuma satu yang saya harapkan - semoga ahli-ahli PRS saya akan menjadi 'role model' kepada yang lain. Dapat membantu sekolah dan menjadi insan yang berguna untuk diri sendiri dan orang lain. Insya'Allah!!!



Isnin, 23 Januari 2012

TEKANAN DAN CARA MENANGANI

Kerja bertimbun? Masa suntuk untuk menyiapkan tugasan. Kena marah? Atau selalu rasa gelisah? Tidak selesa? Semua itu perkara biasa bagi sesiapa sahaja yang bekerja dan belajar. Selagi kita dinamakan manusia- tidak mungkin kita terlepas dari tekanan yang boleh merungsingkan sehingga kehidupan seharian turut menjadi ‘gerhana’.

Banyak cara kita boleh lakukan untuk mengurangkan tekanan dalam kehidupan kita malahan akan menjadikan kehidupan kita lebih tenang. Antaranya adalah;
· Biasakan diri sentiasa berwuduk – jiwa menjadi lebih tenang, kerja yang susah menjadi mudah, apa yang dipelajari dan dibaca mudah diingati.
· Perbanyakkan membaca Al-Quran
· Banyakkan solat sunat – beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah SWT
· Selalu berdoa kepada Allah – dilakukan secara konsisten, terutama pada waktu mustajab seperti pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah.
· Bersangka baik dengan Allah –anggap sebagai ujian untuk menguji kekutan iman, sentiasa bermuhasabah dan harus percaya pada hikmah di sebalik apa yang berlaku.
· Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
· Amal diet dengan disiplin yang kuat
· Menangis dengan sepuas hati
· Hargai kebolehan diri sendiri
· Cintai diri sendiri

Secara kesimpulannya, tekanan bukanlah satu bebanan tetapi lebih kepada suatu motivasi jika kita berfikir secara positif. Cuma yang membezakannya adalah cara kita menanganinya agar tekanan tersebut boleh diurus dengan baik dan berkesan. Sekiranya individu yang berhadapan dengan tekanan berusaha dengan gigih dan sabar, sudah pasti tekanan tersebut dapat diatasi dengan jayanya dan kita mendapat kepuasan yang cukup tinggi.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...