Sabtu, 25 Jun 2011

NIAT


Pernahkah anda mempunyai niat tertentu dalam hidup anda? Niat untuk berbuat sesuatu apabila mendapat sesuatu, atau niat terhadap orang lain kerana perbuatan baik mereka kepada anda. Niat adalah sesuatu yang kita cetuskan di dalam hati lantaran kita berasa teruja untuk melakukan sesuatu perkara dengan baik. Apa pun sebenarnya Niat adalah keazaman seseorang untuk melakukan sesuatu tindakan.

Niat ialah tujuan dan azam. Tempatnya di hati. Maka niat sebenarnya tiada kaitan dengan lidah – maksudnya tidak perlu dilafazkan, tidak perlu diberitahu kepada orang lain dan tidak perlu diwarwarkan. Cukup Cuma jika kita mengikhlaskannya di dalam hati. Kerana sesungguhnya niat atau hasrat yang tersirat di sebalik setiap tindakan, kita diperintahkan untuk bersikap ikhlas kerana Allah. Jadi betulkan niat dan tujuan ddalam setiap tindakan dan perbuatan kita dengan meletakkan niat kita pada tempat yang sebenarnya. Insya’Allah kita pasti akan menemui jalan yang lurus di hadapan kita.

Selasa, 21 Jun 2011

REZEKI


Setiap makhluk diberi dan ditentukan Allah SWT rezeki masing-masing. Ada orang mendapat rezeki wang ringgit melimpah ruah namun bukan rezeki sihat. Ada orang yang lain mendapat rezeki sihat namun tidak mewah dengan wang ringgit. Manakala orang yang lain pula diberi rezeki keluarga yang bahagia, anak-anak yang cemerlang akademik dan mendapat kerjaya cukup baik. Demikian Allah SWT mengatur rezeki setiap hamba-hambaNya, supaya setiap di antara kita belajar menilai diri, melihat dan sentiasa memuhasabah diri - agar tidak menjadi insan yang riak dan takbur dengan rezeki-rezeki atau dalam erti kata lain nikmat-nikmat yang diberikan Allah untuk semua hambaNya.

Untuk itu, marilah kita sama-sama belajar mensyukuri apa juga nikmat atau rezeki yang dikurniakan Allah untuk kita. Sama ada rezeki kita dapat tidak sama dengan apa yang kita harapkan; memandangkan orang lain mendapat yang jauh lebih baik daripada kita. Apalah yang hendak kita kesalkan kerana setiap apa yang yang ditetapkan Allah itulah yang sebenarnya sebaik-baiknya untuk kita sentiasa belajar menginsafi dan mengenali diri sendiri. Malahan sentiasa bersedia untuk mengubah diri jika tahu kita sememangnya mengetahui di mana lemahnya diri!!



Ahad, 19 Jun 2011

Kurang Disiplin

Walau ketika semangat anda sedang tinggi, anda mungkin masih berdepan dengan tugas yang anda tidak mahu lakukan. Dalam situasi ini disiplin diri bertindak sebagai sistem sokongan hidup motivasi. Apabila anda rasa bersemangat, anda tidak memerlukan sangat disiplin, tetapi disiplin diri menjadi berguna apabila anda perlu menyiapkan sesuatu tetapi tidak mahu atau tidak suka kerja tersebut. Jika disiplin diri anda lemah, sebaliknya, menangguhkan kerja itu menjadi sesuatu yang sukar untuk anda tolak.

Anda perlu meningkatkan disiplin diri anda. Anda perlu ada peraturan yang perlu anda ikuti agar diri anda sentiasa berdisiplin dalam menjalankan tugas atau menbuat apa saja kerja. Anda perlu ada kemahuan yang tinggi. Sebagaimana seorang atlit yang ingin menjadi juara, atlet tersebut akan terus berlatih hari demi hari membina kekuatan, walaupun dalam keadaan keletihan atau dibelenggu rasa malas, atlet tersebut tetap terus mengikut peraturan dan berdisiplin untuk membawa dirinya ke satu tahap yang lebih tinggi.

Membina disiplin diri memerlukan latihan. Pengulangan dan pemahaman tentang peri pentingnya tugas tersebut terhadap diri dan orang lain akan membantu anda membina disiplin diri.

Sabtu, 18 Jun 2011

PERSAHABATAN

Sahabat sangat penting dalam kehidupan kita. Kita memerlukan sahabat untuk berkongsi cerita, berkongsi suka, malah berkongsi derita. Sahabat bukan sahaja untuk mendengar cerita-cerita manis yang indah-indah ketika kita dibuai kegembiraan malahan sahabat sejati adalah yang sanggup bersusah-senang ketika kita ditimpa musibah kesusahan.

Namun, persoalannya sejauh manakah kita dapat menerima orang lain sebagai sebahagian dari kehidupan kita? Mendengar dan juga berkongsi segala luahan rasa? Berupayakah kita menjadi pendengar setia dan menerima orang lain ketika susah dan senang; menegur jika berlaku sebarang kesilapan. Berapa ramaikah di antara kita yang benar-benar lahir sebagai sahabat sejati? Mahu memberi teguran kerana merasakan sahabatnya melakukan suatu tindakan yang kurang menyenangkan?

Lumrahnya tidak ramai yang mampu berbuat demikian. Yang ramai hanya tahu bercakap-cakap di belakang dan tidak telus dalam persahabatan - sehingga menimbulkan rasa tidak enak. Lalu, akan terus timbullah syak-wasangka berpanjangan - kerana persabahatan tidak terbina atas dasar kejujuran dan keikhlasan.

Jumaat, 17 Jun 2011

KEBEBASAN

Sesekali pernahkah terfikir untuk terbang bebas mencecah awan? Mengapai impian demi impian? Alangkah indahnya jika apa yang terlintas di fikiran menjadi satu kenyataan. Lalu, kita dapat melihat ke seluruh alam. Menyaksikan betapa indahnya sebuah ciptaan. Yang di dalamnya ada nilai kasih sayang, nilai kemanusiaan, nilai rindu, nilai belas, nilai ikhlas malahan nilai kejujuran. Maka jadilah kita manusia yang sentiasa bersedia - memberi dan menerima; melihat dan seterusnya membaiki - setiap apa juga yang kurang dalam diri.

Jika kita sering mengharapkan hidup untuk mendapatkan sebuah kebebasan - maka kebebasan yang bagaimanakah mungkin kita dapat? Adakah seperti burung yang akan terus terbang dan terbang - mencari dan seterusnya singgah di mana-mana. Jika persinggahan tersebut berjaya menghasilkan sesuatu yang bernilai maka kebebasan itu barangkali cukup bernilai. andai sebaliknya - lebih baik melihat bagaimana kita dapat membaiki kekurangan yang ada dalam diri. Kerana kebebasan hanyalah suatu yang sementara sahaja. Berbanggalah menjadi diri anda sendiri....

Khamis, 16 Jun 2011

Ciptaan Tuhan..

DAMAI




Melihat orang lain berada dalam kedamaian, kita sering terpanggil untuk merasai nikmat damai seperti mereka. Alangkah bahagianya jika jika belajar mengenal erti sebuah kehidupan dengan merenung jauh kedalam diri sendiri - sejauh mana kita kenal diri dan menginsafi kekerdilan diri.

Stres atau Tekanan

Pernahkah anda rasa stres, tertekan, runsing, atau risau? Rasa sukar untuk bekerja dengan produktif? Atau dalam situasi tertentu, anda akan cuba menangguhkan sesuatu kerja kerana anda cuba untuk mengekalkan tahap stres atau mengawal tekanan yang anda alami?

Bagi sesetengah orang, stress adalah perkara biasa – untuk menggerakkan mereka bekerja dengan lebih produktif. Namun, bagaimana jika stress tersebut berlaku berulang-ulang dan akibat ketidakpekaan sikap individu lain terhadap teman-rakan di sekelililing mereka. Barangkali kita perlu mempunyai banyak cara untuk menangani stress atau tekanan agar ia tidak merebak menjadi wabak yang boleh merosakkan jiwa individu dan masyarakat. Penyelesaian yang bijaksana adalah dengan mengurangkan tekanan dalam hidup, agar anda boleh memberi untuk berbuat sesuatu kerana anda mahu melakukannya, bukan kerana anda terpaksa atau dipaksa. Satu daripada cara yang paling mudah untuk mengurangkan stres ialah dengan mengambil lebih sedikit masa untuk bermain atau melakukan apa yang paling anda suka ikut kemampuan.

Apa yang penting tentukan terlebih dahulu masa anda untuk keluarga, hiburan, senaman, aktiviti sosial dan hobi anda. Kemudian jadualkan masa anda. Jangan biarkan diri anda dikuasai orang lain kerana ini akan mengakibatkan anda rasa amat tertekan untuk memenuhi permintaan demi permintaan. Sebenarnya bukan mudah untuk memenuhi permintaan orang yang tentunya meempunyai matlamat berbeza dengan diri anda. Bekerjalah untuk kepuasan diri dan lakukan dengan ikhlas demi masa depan anda yang masih panjang.

Ilmuwan Islam memberikan cadangan membahagikan hari kita kepada tiga bahagian; iaitu satu pertiga untuk bekerja, satu pertiga untuk beriadah dan rehat dan satu pertiga lagi untuk beribadah. Saya sendiri pun menyedari bahawa diri saya adalah paling produktif dan berkesan apabila saya memberi masa untuk berkerja dalam keadaan seronok dan suasana beriadah. Ia membantu saya meluahkan tekanan/stres yang berlebihan dan dapat lebih lagi menikmati hidup, dan hasil kerja saya lebih baik apabila saya rasa gembira. Saya juga akan merasakan tempat kerja saya dapat memberi suasana yang mendamaikan apabila saya suka berada di situ, saya boleh bekerja sepanjang hari tanpa rasa terlalu tertekan (meskipun sebenarnya tekanan memang sentiasa wujud di mana-mana). Anda pun mesti pernah rasa begini bukan?

Selasa, 14 Jun 2011

TIP MUDAH ATASI MALAS menurut Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad

1. Amalkan doa ini

“Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari kedukaan dan kesusahan, perasaan lemah, malas dan kebakhilan”.

2. Ingat matlamat atau sasaran anda

3. Belajar bersungguh-sungguh dalam masa 10 minit!

4. Susun dan mudahkan jadual belajar

5. Banyak membaca bahan motivasi

6. Rehat dan tidur yang cukup

7. Riadah

8. Berkawan dengan orang yang positif

9. Amalkan teknik pernafasan

10. Suarakan kata jaya anda

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...