Rabu, 23 Februari 2011

HARGAI MASA YANG ADA; JANGAN LEKA

Barangkali tidak ada kata yang mampu diucapkan oleh sesiapa pun apabila menerima suatu ucapan tahniah. Kemanisan menikmati saat-saat indah ketika dikerumuni teman-rakan tentunya menjadi detik cukup indah. Sebagai seorang insan, tidak ada satu detik pun yang paling manis berbanding ketika mengecapi saat-saat menerima sesuatu kejayaan. Terasa segala penat lelah sepanjang tempoh berusaha menjadi cukup berbaloi. Termasuk pengorbanan semua pihak; diri sendiri, ibu bapa, teman rakan malahan para guru. Demikian kehidupan. Yang menjanjikan sejuta warna-warni dan kita sendirilah pencoraknya.
Jika semua kita mengimpikan sebuah kejayaan; maka sewajarnya permulaan terhadap usaha untuk mendapat kejayaan itu perlu dilakukan dari awal. Maksudnya bukan hanya dilaksanakan pada detik-detik akhir atau di hujung waktu. Barangkali kita boleh mengangkat kejayaan yang dicapai oleh kakak-kakak dalam STPM 2010 sebagai satu titik permulaan. Kejayaan mereka mencapai sehingga 3.92 bukan merupakan usaha yang dilakukan di saat-saat akhir. Secara logiknya, kejayaan tersebut bukan mudah. Tidak semudah kita melafazkan ucapan tahniah. Atau semudah senyuman lebar yang terpancar di segenap wajah.
Sebenarnya, kejayaan demi kejayaan dalam hidup setiap individu boleh terhasil melalui usaha yang berterusan. Sentiasa menghargai setiap detik masa yang datang. Tidak mengamalkan kerja bertangguh malahan menjadikan disiplin sebagai asas kecemerlangan diri. Kita juga boleh mengangkat kejayaan-kejayaan individu-individu lain sebagai pembakar semangat sekiranya motivasi diri semakin luntur. Jangan biarkan diri terus leka bermain dengan takdir dan nasib kerana permainan takdir dan nasib ibarat menyerah diri diratah kepunahan tanpa mahu mempertahankan kebenaran.
Demikianlah kehidupan yang kita nampak sukar namun menjadi cukup mudah jika kita pandai memudahkan kehidupan kita bermula pada detik dan saat ini. Oleh itu,marilah para pelajar - belajarlah menghargai setiap detik masa yang datang dan kita punya kerana perginya masa akan membawa berjuta kekesalan kerana kita tidak berupaya untuk mengembalikandetik-detik itu semula seperti mana yang kita inginkan. Jangan biarkan kelekaan merosakkan diri; jangan biarkan hanya orang lain mengecap kegembiraan demi kegembiraan kerana kita juga berhak dan mampu. Jadikan setiap apa yang berlaku sebagai satu proses pembelajaran - kita mampu mengubahnya!!

Sabtu, 19 Februari 2011

TIADA SUATU PUN YANG KEKAL; KITA CUMA PINJAMAN SEMENTARA

Untuk menerima berita tentang suatu kehilangan pastinya amat sukar bagi setiap orang. Lebih-lebih lagi kehilangan tersebut bukan bersifat sementara malahan selama-lamanya. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian kehidupan. Jika beberapa hari lepas, saya berasa begitu sukar untuk mengisahkan setiap lingkup cerita perihal kesakitan dan kedukaan, hari ini kesakitan dan kedukaan itu menjawab kepada keseluruhan mimpi-mimpi negri selama ini.
Namun kebelakangan ini, satu demi satu insan yang hampir dengan dunia saya, gugur. Meninggalkan saya mengutip daun-daun kenangan yang jatuh satu demi satu. Begitulah kehidupan. Semakin kita hitung-hitung; semakin banyak ranjau dan rintangan yang mendewasakan kita. Malam tadi, Jumaat 18 Februari saya dan suami mengambil kesempatan membantu saudara kami yang baru kehilangan anaknya; Abd.Muin b. Abd. Malek pada petang 16 Februari 2011. Membuat majlis tahlil ini bagai mengimbau berjuta memori ketika mereka kecil. Namun saya bukanlah sesiapa jika dibandingkan dengan kedua ibu bapa putera ini. Kesedihan mereka menjalani detik sukar seperti ini tentunya perlu didokong dengan tangan-tangan kita yang berhampiran.
Sebenarnya, dalam menongkah arus kehidupan kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk gelombang. Ada ketika gelombangnya begitu kuat sehingga menghempas kita semula ke permukaan pantai, lalu mengubah keseluruhan struktur pantai tersebut. Ada ketika yang lain gelombangnya hanya merupakan satu alunan kecil yang menampar-nampar sambil membawa seribu nikmat yang tidak mampu kita ucapkan. Begitulah; jika kita kuat menangani kemelut kehidupan maka lahirkan kita sebagai insanyang tabah dan cekal. Jika kita lemah menghadapi gelombang kehidupan, jadilah pula kita insan yang kecundang, yangsentiasa menangisi sukarnya meneruskan perjalanan.
Saya barangkali bukanlah insan yang cukup kuat. Saya pernah merasa begitu sukar untuk bangun ketika menghadapi saatgugurnya 3insan yang begitu hampir dengan saya ; almarhumah bonda, allahyarham ayahanda dan almarhumah kekanda saya. Begitulah saat-saat sukar ketika jatuh dan berusaha untuk bangun semula. Namun, saya sedar tiada suatu apa pun yang kekal untuk kita di dunia ini melainkan Allah dan tiada apayang kita punya melainkan semuanya dipinjamkan buat sementara. Kita cuma diamanahkan menikmati seketika saat manis atau sukar ketika bersama. Bila tiba waktunya diambil semula; kita perlu sentiasa redha kerana tiada suatu apa pun milik kita.
Moga tabah menghadapi saat-saat ini buat keluarga allahyarham Abd. Muin. Fatihah buat seluruh kekasih saya yang telah semakin jauh meninggalkan saya, sedangkan saya semakin hampir mendekati detik-detik tersebut yang akan tiba bila-bila. Kita cuma dipinjamkan dan sifatnya begitu sementara!!

Rabu, 16 Februari 2011

MARI KITA SAMA-SAMA DOAKAN; ANAKKU MUIN

Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana tulisan ini harus saya mulakan. Barangkali kedukaan yang bersarang di hati saya tidak mungkin sama dengan kesedihan, kepiluan serta kedukaan yang sedang dialami saudara saya - Pn. Marini dan Dr. Malek. Namun saya juga terasa ingin berkongsi rasa duka itu memandangkan dia lahir dan dibesarkan di depan mata saya. Tambahan dia juga sering ada di depan mata saya- sama-sama membesar dengan anak sulung saya Mawardi. Cuma bezanya dia tidak dilahirkan melalui rahim saya seorang ibu. Itulah bezanya.
Kalau ditanya soal sayang, saya juga menyayangi dia. Sayang sebagai anak; tambahan dia dan adiknya Mukmin kerap di rumah saya, belajar bersama saya dan suami dari kecil. Saya senang mendepani mereka. Malah saya turut berbangga kerana pernah menjadi guru mereka dan turut berbangga dengan kejayaan-kejayaan mereka.
Malam itu, Ahad 13 Februari 2011 lebih kurang 9.10 malam berita yang dibawa Mawardi tentang dia cukup mengejutkan saya. Malahan sebahagian jiwa saya terasa kosong. Tidak percaya. Barangkali itulah juga perasaan yang dirasai oleh Pn. Marini ketika berita yang menimpa anaknya dikhabarkan oleh suami saya. Hari-hari yang dilalui selepas malam itu merupakan hari-hari penuh penungguan. Saya tidak pernah terlali bertanya perkembangan dia setiap kali suami saya balik dari surau atau menghubungi Mawardi melalui Nazril di Kuala Terengganu.
Kereshan jiwa saya turut dirasai anak saya, Farhana. "Mak, sedihke?" soalnya malam ketika orang bercuti menyambut Maulidurasul. "Mestilah mak sedih. Dia besar depan mak. Duduk kat sini le selalu. Dah macam anak mak..", kata saya cuba menahan rasa sebak.
Begitulah saya rasa sepanjang minggu ini. Kalaulah saya diberi pilihan saya ingin terbang ke Kuala Terengganu. Sekurang-kurangnya saya mahu melihat bagaimana kesakitan yang sedang dia alami. Saya juga telah berazam untuk ke Kuala Terengganu sekiranya dia tidak dipindahkan ke sini sehingga cuti sekolah ini. Itulah antara keinginan saya dan semua keinginan tersebut telah saya suarakan kepada suami saya sejak beberapa hari lalu.
Memang dia bukan sesiapa dengan saya. Cuma dia adalah anak dalam kawasan kejiranan rumah saya. Dapur rumah keluarganya bertemu atap dengan dapur saya. Namun rasa kasih sayangitu wujud memandangkan dia menjadi sahabatanak saya sejak kecil. Membesar, mengajimalah belajar di rumah saya. Maka mana mungkin saya menafikan rasa kasih yang timbul terhadap dia. Ketika musibah ini menimpanya, saya turut merasakan sebahagian kedukaan, kesedihan, keperitan malahan kepiluan dan yang tanggung keluarganya. Malahan, saya terasa bagaimana sakitnya penderitaan yang dialaminya ketika ini.
Anakku Miun (barangkali saya boleh memanggil dia begitu), kuatkan hatimu menghadapi kesakitan dan kesukaran ini. Saya tahu Muin cukup kuat. Jangan mengaku kalah. Di sisi Muin ada ramai orang yang menyayangi Muin menunggu dan berdoa. Kuatkan hati. Terus berjuang. Kami akan terus mendoakan Muin kerana kami sangat-sangat menyayangi Muin. Saya tahu Muin kuat dan saya mahu Muin terus berjuang. Jangan biarkan kesedihan terus bersarang di jiwa setiap orang. Jangan. Bangun buka matamu; kami sedang menunggu! - (Abd. Muin bin Abd. Malek, 21 tahun pelajar Sem. 6 Uni. Sultan Zainal Abidin- terlibat dalam kemalangan jalanraya di Kuala Terengganu pada 13 Februari 2011; berada dalam keadaan koma- tolong doakan moga beliau cepat sembuh dan kembali sihat seperti sedia kala)

Selasa, 15 Februari 2011

EMOSI, SUKARKAH DIKAWAL?

Pernahkah kadang-kadang anda tidak dapat mengawal rasa marah? Hingga terkeluar pelbagai bentuk perkataan yang tidak sepatutnya dan bukan melambangkan diri anda? Kita ada ketikanya begitu terkejut apabila berhadapan dengan situasi sebegitu. Sehingga kita biasa mendengar adaorang mengamuk, memukul atau bertindak agresif kepada orang lain kerana emosinya tidak dapat dikawal dengan baik.
Banyak sebab mengapa seseorang tidak dapat mengawal emosinya meskipun dia cuba menjadi sebaik mungkin. Keadaan dan persekitaran kadangkala memaksa individu bertindak di luar kawalan. Punca utama barangkali adalah kerana komunikasi yang tidak berkesan, tingkah laku yang tidak rasional daripada pihak orang lain hingga menimbulkan rasa kurang senang seseorang.
Sebenarnya, jika dikaji dan diteliti tidak ada individu yang ingin bertingkahlaku angresif sehingga menyusahkan orang lain. Kemarahan dan ketidakstabilan emosi akan mengakibatkan individu berasa kurang selesa dalam ruang kehidupan sehariannya. Selain tanggapan orang terhadapnya berubah, individu tersebut juga akan mengalami ketidakselesaan emosi dalam jangkamasa yang panjang. Kemarahan atau ketegangan emosi jika tidak diluahkan dengan cara yang betul akan menyebabkan berlakunya 'unfinishbisnes' antara dua pihak. Ketidakselesaian masalah dengan cara yang sempurna dan lancar akan meninggalkan kesan cukup besar kepada tingkahlaku individu seterusnya.
Sehubungan itu, emosi terutama rasamarah yang melampau sangat perludikawal untuk memastikan kesihatan mental individu berada ditahap palingbaik. Ini perlu terutama untuk mendepani kehidupan dalam arus globalisasi yang semakin mencabar. Belajar-belajarlah mengawal emosi walaupun amat sukar...

Khamis, 10 Februari 2011

PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN

Hari ini saya diamanahkan mengendalikan slot 'pengucapan awam' sempena kursus kepimpinan pengawas fasa 1 peringkat sekolah. Bersama kira-kira 81 orang pemimpin kecil sekolah yang diamanah mendokong dan menjujung visi dan misi sekolah, tentunya saya sentiasa mengharapkan barisan pemimpin pelajar ini akan mendapat sejuta pengalaman dan pengetahuan dari kursus yang dijalankan.
Bersandarkan harapan yang tidak pernah padam, saya sentiasa berkeyakinan pihak sekolah mampu membantu melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berkalibar sekiranya diberi peluang, ruang dan kesempatan. Namun, sepanjang pengendalian slot 'pengucapan awam' saya melihat begitu ramai pelajar yang kurang berkeyakinan dengan diri sendiri untuk bercakap dan berhujah. Bagaimana jika keadaan ini berterusan?
Sepanjang petang, dengan hujan yang turun mencurah, walaupun terasa tidak berkeupayaan 'mendera' para pelajar untuk meneruskan slot latihan dalam kumpulan dengan aktiviti "Sayang Si Buta"; namun aktiviti tersebut tetap diteruskan. Tujuan utama untuk memberi kesempatan kepada semua pengawas merasai nikmat 'hujan' dan nikmat 'mata dipinjam' sekejap. Hasilnya.., aku bangga dengan apa yang mampu dilakukan. Kesungguhan semua menerima pengajaran dalam suasana yang berbeza tentunya akan memberi impak cukup berharga.
Sepanjang berada di SMKSB barangkali inilah detik menggembirakan ramai pelajar. Walaupun dalam masa terbatas, hasilnya membuahkan kegembiraan dan kesan cukup besar. Moga akan lahirlah pemimpin kecil sekolah yang sentiasa memiliki ciri-ciri kepimpinan untuk terus berdiri menjadi pewaris masa hadapan!!

Rabu, 9 Februari 2011

BAGAIMANA MENCAPAI KEJAYAAN SEDANGKAN POTENSI KAMI BERBEZA

Hari ini seperti hari-hari lain, saya diberi masa untuk menggantikan teman-rakan yang tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah kerana beberapa urusan dan sebab. Memasuki kelas peperiksaan menjadi harapan saya untuk berkongsi pelbagai perasaan dan harapan bagi tahun 2011.
Kesempatan bertemu pelajar yang bakal berhadapan dengan peperiksaan memberi banyak ruang dan peluang untuk berinteraksi. Di kelas 3B1 hari ini sebagaimana kelas-kelas lain, saya memberi penekanan kepada 'target' PMR 2011, pengurusan masa terutama jadual waktu dan cara menuju matlamat. Seronok berkongsi idea tiba-tiba seorang pelajar bangun dan bertanya;"Cikgu sudah menjelaskan dengan panjang lebar bagaimana kami nak urus masa tapi cikgu, bagaimana kami nak berjaya sedangkan kami tidak sama dari segi kebolehan?"
Ternyata, ramai pelajar sekarang begitu berani menyuarakan pendapat. Keberanian pelajar sebegitu tidak seharusnya dipandang enteng dan perlu diberi peneguhan. Saya cukup bangga dan berterimakasih dengan soalan yang diaju.
Saya cuba membawa persoalan pelajar tersebut kepada satu pendekatan yang begitu hampir dengan kehidupan mereka. Mengaitkan dunia keluarga pelajar (ayah dan ibu pegawai kewangan) dengan insan yang berjaya - Nik NurMadhihah. Membuka ruang berfikir dengan menglontarkan persoalan demi persoalan agar dapatdijawab mudah oleh pelajar sendiri. Memberi ruang pelajar berfikir bahawa ketidaksamaan dari segi kebolehan bukan bererti pelajar harus memberi kesempatan untuk diri terus gagal. Malah ketidaksamaan tersebut perlu diperbaiki dengan usaha yang berganda. Dengan menggiatkan diri mengulangkaji, mendekatkan diri kepada Allah SWT dan membuat perancangan sebegitu teliti. Itulah cara paling penting bagi membolehkan setiap orang mengapai kejayaan demi kejayaan.
Moga perkongsian tersebut dapat memberi kita ruang semaksimum mungkin berfikir untuk masa depan. Teruskan usaha anda pasti berjaya.

BERSARA, BERPINDAH DAN DIPINDAHKAN

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, setiap yang bermula pasti akan berakhir. Setiap yang hidup pasti mati. Itulah kehidupan. Mahu atau tidak, perkara tersebut tidak mungkin dapat dielakkan. Dalam dunia pekerjaaan, sejak menjadi guru dari tahun 1989 saya telah menempuh pelbagai cerita suka duka dalam sebuah perpisahan dan kehilangan. Barangkali bagi pelajar-pelajar, perpindahan keluar masuk guru adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Namun realitinya, setiap yang patah sudah pasti akan tumbuh, yang masak akan gugur. Di mana sahaja kita berada atau ditempatkan, suatu ketika kita pasti akan meninggalkan baik siapa sahaja yangkita kasihi ataupun kita benci.
Demikianlah sebuah realiti kehidupan. Nyanyian lagu "Pelangi Petang" mengiringi persaraan Mr. Leong tanggal 1Februari 2011 barangkali masih menjadi nostalgia buat semua orang. Perkhidmatan selama 25tahun di SMKSB menjadikan beliau begitu sinonim dengan sekolah. Ramai pelajar merasakan kehilangan beliau - guru Sains Tingkatan 3.
Kita tidak pernah mengharapkan semua peristiwa seumpama itu berlaku dalam sebuah kehidupan. Namun seperti yang saya nyatakan diatas, kita tidak mungkin dapat mengelakkan peristiwa-peristiwa sebegitu terjadi. Kerana itulah fitrah alam, fitrah kehidupan. Sebagai seorang manusia yang waras, kita perlu terus melanjutkan perjuangan agar mendapat lebih kebaikan dalam sebuah kehidupan pada masa-masahadapan. Orang-orang yang pergi; yang meninggalkan berjuta memori barangkali hanya akan menjadi pemangkin yang dapat menyuburkan keazaman untuk lebih berdayasaing dalam sebuah perjuangan sebagai insan.

Rabu, 2 Februari 2011

Tanggal 28 Januari 2011












Dalam kehidupan kita, hari demi hari yang berlalu adalah sejarah dalam kehidupan. Sama ada suka atau tidak, kita pasti melaluinya. Peredaran masa bererti peredaran usia. Makin jauh masa berlalu, makinbertambah usia. Begitu juga dengan kehidupan saya. Hari-hari terus berlalu. Sekarang 2011. Cepat sungguh masa beredar meninggalkan sejuta sejarah yang perlu sentiasa dikenang. Tanggal 28 Januari 2011, Jumaat -anak-anak membuat kejutan. Mengajak saya dan suami makan di luar. Konon ke KFC. Memandangkan suami kurang berminat dengan restoran makanan segera itu, lokasi terpaksa diubah. Ke Food Court TESCO!! Malam itu, seorang putera dan 3 puteri saya bergabung tenaga meraikan ulang tahun perkahwinan saya dan suami yang ke-21!!
Terima kasih atas keperihatinan. Rupa-rupanya perancangan ini telah dibuat sejak 2 minggu lalu. Si abang dan Si kakak membuat perancangan cukup rapi. Termasuk membuat tempahan kek Chees yang cantik dari Changloon. Saya tahu harganya juga pasti mahal. Sebenarnya ini merupakan saat yang paling membahagiakan saya. Sungguh saya tidak menyangka keempat-empat anak kesayangan saya iniakan meraikan kami dalam satu majlis yang ringkas tapi penuh makna. Sebagai ibu, saya tidak pernah meminta apa-apa. Saya cuma berharap agar anak-anak saya akan terus membesar sebagai anak-anak yang soleh, yang cemerlang sahsiah dan tingkahlaku, yang berjaya di dunia dan akhirat, yang sentiasa menyayangi keluarga mereka, agama mereka dan mengingati dari mana mereka datang. Itulah sebenarnya harapan saya; yang menjadi doa saya saban waktu.
Apapun... terima kasih anak-anakku. Moga kita terus kekal sebagai sebuah keluarga yang bahagiaselama-lamanya. Kalianlah sumber inspirasi seorang ibu dan bapa. Tanpa kalian, siapalah saya!! "Mak sayangabang, kakak, kaklang and aadik. Love u all". Mum and Dad

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...