Khamis, 27 Januari 2011

HORMATI DIRI ANDA SENDIRI

Tanyalah pada sesiapa pun. Saya yakin, tidak ada seorang pun yang tidak menyayanginya diri mereka. Namun persoalannya sejauh manakah kita benar-benar menyayangi diri kita?? Inilah antara persoalan-persoalan yang sering berlegar di benak saya sebagai seorang guru dan kaunselor. Sebagai seorang guru dan kaunselor sudah menjadi rutin saya berhadapan dengan para pelajar pada setiap hari, mendengar malahan berkongsi pelbagai cerita dengan mereka. Malahan kadang-kala perkongsian tersebut membolehkan saya sentiasa membuat pelbagai konkulsi.

Sepanjang perkongsian tersebut, saya sering berkeyakinan setiap individu tidak kira siapa pun mereka memerlukan pengiktirafan, perhatian dan penilaian dari orang lain. Semakin tinggi penilaian, perhatian malahan pengiktirafan yang diterima seseorang, maka semakin stabil diri individu tersebut. Keadaan ini menyebabkan mereka terus berusaha dan belajar untuk dihargai dengan meningkatkan penghormatan pada dirinya sendiri.

Tidak dapat dinafikan semua orang mempunyai ego masing-masing. Perasaan ego dalam diri seseorang berkait rapat dengan penghargaan kepada diri. Individu yang mempunyai penghargaan (hormat) yang kuat terhadap diri sendiri lebih berkemungkinan mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan hidup mereka. Contohnya seorang pelajar yang mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi dan sentiasa berusaha memenuhi perasaan tersebut akan sentiasa mendorong dirinya belajar dan mencari pengetahuan dengan membaca buku, mentelaah, menjalani proses pembelajaran atau mencuba berbagai-bagai perkara yang belum dialaminya. Seseorang pelajar akan merasakan diri mereka penting sekiranya mereka berjaya melakukan sesuatu tugasan, arahan atau apa sahaja yang disuruh oleh guru mereka.

Saya berkeyakinan jika ini dapat dilakukan dengan baik maka semua kita dapat memupuk diri kita menjadi lebih yakin dan seterusnya keinginan dan minat untuk belajar dan berjaya semakin meluap-luap. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan penghormatan pada diri kita sendiri. Jangan biarkan kita menjadi individu yang gagal atau tercicir kerana ini menyebabkan penghargaan (hormat) diri kita menjadi semakin rendah. Hormati diri kita; jangan biarkan kita terus dipandang rendah oleh sesiapa!!

Rabu, 26 Januari 2011

PETUA BELAJAR AWAL TAHUN

  1. Mulakan Doa Tahun Baru

Bagi yang beragama Islam, mulakan tahun baru dengan memohon restu dari Allah SWT agar diberi petunjuk dan jalan selain anda menjadi lebih tenang dan bersemangat.

  1. Susun Barabg dan Buku Dengan Teratur

Mula mengemas dan menyusun segala keperluan anda agar mudah dicari. Buat system fail untuk mengasingkan subjek-subjek yang diambil.

  1. Buat Jadual Harian atau Jadual Belajar

Perlu menyediakan jadual waktu belajar agar dapat menyusun sendiri keperluan anda sepanjang hari. Buat jadual dengan kemas dan cantik agar mudah dibaca. Tampal dan amalkan.

  1. Bina Kumpulan Belajar

Cari kawan-kawan yang sama-sama ingin meningkatkan prestasi diri. Kenal pasti rakan yang rajin belajar tetapi tidak kedekut ilmu. Jangan terlalu ramai.

  1. Tumpukan Perhatian Di Dalam Kelas

Tumpuan sepenuhnya di dalam kelas. Tanya jika tidak faham, buat temujanji dengan guru dan buat nota sendiri.

  1. Beritahu Ibu Bapa dan Keluarga Akan Impian Anda

Suarakan impian anda agar mereka boleh mendoakan kejayaan anda, memberi sokongan dan anda rasa dihargai.

  1. Jangan Lupakan Tuhan

Sentiasa memohon dan berdoa untuk mendapat keberkatan selain Allah mempermudahkan segala urusan anda setiap hari.

  1. Minta Restu Guru-Guru

Minta restu dan kemaafan guru sebagai tanda penghargaan kerana jasa guru amat besar dalam mendidik kita.

Ahad, 23 Januari 2011

CARA, MASA DAN CORAK ULANGKAJI

  1. Tiap-tiap Hari

Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah dengan membuat kerja rumah, menjawab soalan latihan, bersoal-jawab dengan rakan-rakan, bertanya guru dan membuat nota-nota ringkas.

  1. Tiap-tiap Hujung Minggu

Mengadakan perbincangan dengan rakan belajar, mendengar/menonton rancangan televisyen yang ada kaitan dengan sesuatu subjek serta memberi faedah kepada pelajar.

  1. Menjelang Peperiksaan

Para pelajar perlu mengulang kaji pelajaran, baca nota-nota ringkas, mengulangkaji nota-nota guru, latihan menjawab soalan-soalan ramalan iaitu tajuk-tajuk yang telah dianalisis kekerapan soalan yang dibuat oleh guru.

  1. Pilih tajuk untuk mengulang kaji berdasarkan beberapa kriteria; soalan yang tidak boleh dijawab, soalan yang dikemukakan oleh guru serta tajuk ramalan.

Rabu, 19 Januari 2011

MUTIARA KATA UNTUK DIRENUNGI

Lebih baik menjadi pendengar yang bijak daripada menjadi pemerhati yang kaku dan tidak tahu apa-apa.

Kesempatan yang kecil seringkali merupakan permulaan kepada usaha yang besar.

Hidup memerlukan pengorbanan. pengorbanan memerlukan perjuangan, perjuangan memerlukan ketabahan, ketabahan memerlukan keyakinan, keyakinan pula menentukan kejayaan, kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Jumaat, 14 Januari 2011

ORENTASI TINGKATAN 1

Seperti selalunya, sebaik pelajar tingkatan 1 mendaftar diri ke SMKSB maka satu program Orentasi Pelajar Tingkatan 1 akan diadakan. Begitu juga dengan pelajar-pelajar baru di SMKSB bagi tahun 2011.

Bermula pada 3 Januari 2011 hingga 6 Januari 2011 kesemua pelajar yang ditempatkan di SMKSB telah mengikuti program ini dari jam 7.40 pagi sehingga 4.30 petang. Dan saya, seperti tahun-tahun lalu ditugaskan untuk mengendalikan slot ‘Taaruf ‘ dan ‘Kemahiran Belajar’. Semuanya bertujuan untuk menghubungkan pelajar-pelajar agar bergaul mesra antara satu sama lain, memberi kesempatan untuk mereka mendekati teman-rakan yang datang dari pelbagai pelusuk sekolah dan menyediakan ruang secukupnya untuk mereka mengenali SMKSB dengan lebih tepat dan dekat.

Kesian, walau pun kelihatan kepenatan mengikuti pelbagai aktiviti yang disusun khas, saya bagai melihat cahaya kesungguhan dalam diri setiap mereka. Dunia baru dengan sekolah baru dan rakan baru. Malah guru-guru juga turut baru. Pelajar-pelajar cilik ini yang tentunya berjawatan pelbagai di sekolah rendah, tertib mengikuti dan melunaskan semua tugas yang diamanahkan. Pergerakan mereka ternyata pantas – mengikuti budaya SMKSB. Ada yang terkejar-kejar mendapatkan makanan ketika rehat. Tidak kurang juga membawa bekal untuk menjimatkan masa.

Sesungguhnya saya sering berharap agar puteri-puteri ini, yang tentunya begitu ‘dhaif’ dapat terus mengekalkan prestasi baik mereka ketika di sekolah rendah. Ada ketikanya saya sedikit ketakutan andai sepanjang mereka meniti dunia remaja di sekolah menengah ini, kedhaifan yang saya nampak akan bertukar wajah. Moga-moga mereka bukan tegolong dalam golongan insan yang rugi suatu ketika nanti. Malahan merekalah anak-anak yang akan membesar menjadi tiang negara dengan semangat berkobar selama-lamanya.

Khamis, 13 Januari 2011

JANGAN BERTANGGUH; MARI KITA MULAKAN SEKARANG


Januari 2011, sudah hampir separuh bulan berlalu. Terasa begitu cepat masa beredar meninggalkan kita. Jika dihitung-hitung sepanjang tahun 2011 ini banyak sungguh yang perlu diselesaikan. Hingga kadang-kala tidak terlarat dek tangan untuk menyelesaikan segala macam tugasan yang bertimbun di dada meja. Namun, hakikat kehidupan mana mungkin kita tolak begitu sahaja. Selagi kita bergelar seorang pelajar, pekerja; maka selagi itulah rutin kerja-kerja seharian itu perlu kita langsaikan.

Sepanjang dua (2) minggu ini, pelbagai aktiviti dan program berjalan begitu baik. Pelajar-pelajar Tingkatan 1 yang baru menginjakkan kaki ke duni persekolahan menengah telah didedahkan dengan pelbagai perkara sepanjang minggu orentasi. Tujuannya Cuma satu untuk memberi peluang, ruang malah kesempatan kepada pelajar-pelajar ini mengenali dunia persekolahan menengah yang tentunya berbeza dengan dunia persekolahan rendah.

Selain itu, pelajar-pelajar yang baru mendapat keputusan PMR didedahkan pula dengan pakej pelajaran yang ditawarkan di peringkat menengah atas. Selain perlu membuat pilihan yang tepat berdasarkan keputusan peperiksaan PMR 2010, mereka juga perlu memikirkan kelayakan dari segi personaliti yang mereka miliki. Seperti juga adik-adik di Tingkatan 1, tujuan minggu orentasi untuk pelajar-pelajar Tingkatan 4 adalah merupakan suatu pendedahan untuk mereka mengenalpasti kemampuan diri dan peluang yang boleh mereka rebut demi masa depan mereka yang masih panjang.

Apabila kita melihat rentetan-rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang dua minggu ini, banyak sungguh ‘pendidikan ‘ yang cuba diterapkan para guru. Kadang-kala ketika termenung saya sering memikirkan mengapa ketika saya berada di peringkat umur seperti pelajar-pelajar saya tidak berpeluang mendapat semua itu. Terlalu banyak pendedahan berunsur pendidikan dan pembangunan diri yang diterapkan oleh guru-guru untuk membangunkan modal insaneyang bakal mewarisi negara pada masa hadapan. Namun, mengapa masih ada ruang-ruang kosong yang dibiarkan terabai tanpa sebarang usaha untuk diisi?

Bersandarkan semua itu, saya ingin menyeru kepada semua agar merebut setiap peluang yang ada untuk meningkatkan potensi diri. Jangan biarkan hanya orang lain merebut dan mendapat semua peluang yang ditaburkan di sepanjang perjalanan yang kita lalui. Kerana jika biarkan semua peluang yang bertaburan itu dikutip orang, apakah lagi yang tinggal untuk kita? Jadi, marilah. Jangan bertangguh. Kita perlu mulakan sekarang. Mari kita sama-sama mengutip batu-batu hitam yang bertaburan kerana batu itu cukup bernilai untuk kita semua. SIAPA SANGKA!!

Rabu, 12 Januari 2011

SEPANJANG PERJALANAN

Perjalanan hari demi hari merentasi lautan 2011 pelbagai kemelut menerjah diri. Rasa-rasanya dunia pendidikan semakin berwarna-warni. Di bilik kaunseling sendiri, saya dan Cikgu Hasmah menerima kehadiran seorang lagi rakan kaunselor yang baru. Yang boleh dipanggil adik. Sebenarnya beliau telah mula mendaftar diri di SMKSB sejak 22 November 2010 lagi. Dan apa yang pasti, beliau juga telah turut membantu saya ketika mengendalikan program motivasi pelajar-pelajar asrama ketika dalam cuti dahulu lagi.

Mengenali lebih lanjut kaunselor baru ini, beliau lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling. Masih mula dan berasal dari Kelantan. Sayangnya kawan baru saya tidak mempunyai kemahiran memandu. Untuk mengatasi permasalahan tersebut, beliau telah ditempatkan di asrama SMKSB dan dilantik sebagai warden asrama. Maka bermula episode kehidupannya sebagai warden asrama semenjak mula mendaftar diri lagi.

Seperti yang diketahui, SMKSB tidak pernah surut dengan pelbagai aktiviti. Sebaik menjejakkan kaki ke sini pelbagai aktiviti telah berlangsung. Dari mnguruskan orientasi pelajar baru dan tingkatan 4 kepada pengurusan motivasi pagi dan diikuti dengan pembinaan modul serta mentafsir dapatan kajian. Alahamdulillah, kekuatan yang diberi kepada kaunselor-kaunselor SMKSB tidak pernah padam. Sekalung tahniah kepada kaunselor baru kita yang dapat sama-sama merentasi onak duri demi kegemilangan profesion yang dijunjung bersama. Selamat berjuang dan memerangi dunia kaunseling untuk Noor Azlina bt. Abdullah.

Selasa, 11 Januari 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2011

Hari-hari untuk tahun 2011 telah menginjak ke 11. Terasa begitu cepat peredaran waktu berlalu meninggalkan kita. Sedar tidak sedar, mahu atau tidak usia kita turut bertambah bersama pertambahan waktu. Apa khabar anak-anak didik? Teman-rakan? Malah saudara-mara yang jauh dan dekat?

Sepanjang 11 hari menyusuri perjalanan 2011 pelbagai aktiviti dan program menghambat diri. Terasa tidak tercapai dek tangan untuk mengapai segala kerja buat. Tahniah kepada semua terutama Puan Rahinun yang mendapat orang baru dalam keluarga. Juga kakak-kakak senior Kak Nasrah, Kak Zaitun dan Kak Norhayati kerana menerima menantu dalam keluarga. Tahniah juga kepada kawan-kawan, adik-kakak yang membawa anak-anak ke dunia baru pendidikan; Tadika, Tahun Satu dan tidak kurang juga Tingkatan Satu.

Sebenarnya setiap orang diantara kita merasai kekalutan sebaik menjelang tahun baru. Kalut untuk membina azam sedangkan azam lama masih belum terlunas. Kalut menghitung perbelanjaan bagi ibu bapa yang rata-rata anak masih di bangku sekolah. Kalut juga membuat persediaan memasuki alam persekolahan dan menghadapi pelbagai kemelut di dunia sekolah – baik guru mahupun muridnya. Jadi kesimpulannya, kita sama-sama kalut.

Apabila bercakap pasal kalut, yang utama adalah bagaimana kita menyusun kekalutan itu menjadi satu keindahan dan keseronokan. Jika kita berjaya mengubah yang kalut menjadi seseuatu yang cukup istimewa nescaya kita akan tergolong dalam golongan insan yang sentiasa berbahagia. Jadi, marilah semua yang pernah mengenali dan terasa untuk mengenali saya sama-sama kita mengubah kekalutan dan kekusutan dalam pemikiran dan kehidupan ini kepada sesuatu yang boleh dibanggakan, maka jadilah kita orang yang berjaya. Insya’Allah.

Selamat Tahun Baru 2011. Moga belum terlewat walaupun bukan antara yang tercepat.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...