Khamis, 16 Disember 2010

SEHARI DI MRSM ULUL ALBAB

15 Disember jam 10.30 pagi bersama suami bergegas ke WSP Language untuk mengambil Farah Izzati yang sedang mengikuti kursus intensif Bahasa Inggeris bersama kakaknya. Perjalanan dari Alor Setar Ke Kepala Batas merupakan perjalanan santai. Farah Izzati hanya akan menduduki temuduga pada pukul 2.30 petang. Sebaik sampai, aku mengajak suami mencari lokasi MRSM Kepala Batas. Mudah untuk membuat perancangan. Di pekarangan sekolah ramai waris sedang menunggu. Barangkali sesi pagi sudah selesai. Kami berpatah balik untuk mendapatkan makanan tengah hari lantaran lokasi sekolah sudah diketahui. Selesai makan, terus ke Plaza Tol Bertam – menunggu masa solat zuhur dan memberi ruang untuk Farah Izzati menyalin pakaian sekolah.

Bertolak ke MRSM tepat 1.50 petang. Ramai waris berbaris mendaftar. Kami ke kaunter pendaftaran. Mudah. Diberi surat akujanji dan Farah ditempatkan bersama group kedua. Perjalanan Farah menghadiri temuduga bermula. Getar di hati memang terasa. Teringat kumat-kamit suami berdoa ketika Farah mengisi borang aku janji sebantar tadi. Dalam hati berselawat dan beristifar agar Farah diberi kelapangan berpanjangan ketika berhadapan dengan pememuduga.

Ruang menunggu terasa begitu padat dan perit. Melihat anak bongsu menghampiri setelah lebih 80 minit meninggalkan aku untuk ditemuduga, hati berasa sedikit lapang. Menghafal dalam masa 30 minit 4 ayat dari Surah Al-Baqarah, temuduga lisan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya, Ujian Jawi (20 soalan) dan Ujian Sikap (30 soalan). Anakku membawa cerita pelbagai. Jauh di sudut hati berharap agar apa yang dikorbankan ini membuahkan hasil. Minatnya yang mendalam dalam Bahasa Arab menyebabkan pemenuduga turut meminta bercakap bahasa berkenaan sepatah dua. Farah menarik nafas lega. Katanya soalan akhir yang ditanya menyebabkan dia memohon bercakap dalam bahasa Melayu – bukan tidak boleh Cuma takut maksud yang hendak dikatakan tidak tercapai. Jauh di sudut hati rasa bersyukur – pandai pula anakku ini; membuat sesuatu dalam saat genting sebegitu.

Sebenarnya jika ditanya pada diri; aku mahupun suami sangat berharap agar puteriku ini dapat meneruskan pengajian di sini. Mengikuti pengajian seperti pelajar lain, belajar Bahasa Arab dan seterusnya menjadi hafizah dalam masa 3 tahun. Siapa yang tidak mahu. Namun jika anakku terpilih rasanya Allah telah memilih dia dari 1622 orang calon lain. Yang diperlukan Cuma 180 sahaja! Moga ada ruang di situ.

Isnin, 13 Disember 2010

MENINGKATKAN MOTIVASI DIRI

Kelmarin 12 Disember 2010 selepas hampir seminggu tidak ke sekolah, saya menguatkan semangat menjejakkan kaki semula ke sekolah. Sebenarnya baru 2 hari lepas saya selesai mengikuti satu kursus (3 hari 2 malam) di Langkawi. Apabila menghitung-hitung masa cuti yang berbaki rasa-rasanya banyak sungguh tanggungan kerja yang belum dibereskan. Memandangkan 2 orang anak perempuan saya mengikuti kursus Bahasa Inggeris secara intensif manakala seorang lagi ke library, saya membuat keputusan untuk memulakan kerja-kerja tertunggak di sekolah.

Apabila dalam situasi bercuti sebegini, suasana cukup sunyi di setiap ruang sekolah. Terasa mood membuat kerja juga agak berkurangan. Terfikir cara untuk meningkatkan motivasi diri dalam keadaan sebegini. Apa lagi yang boleh difikirkan jika tidak mengingati tarikh-tarikh akhir menghantar tugasan yang bertimbun di meja. Barangkali ini juga satu motivasi untuk diri. Rupanya tidak. Membuat kerja seorang diri tidak boleh meningkatkan walau seinci rasa kesungguhan. Barangkali begitu juga dengan anak-anak didik yang duduk terperuk dalam bilik di rumah. “Keseorangan” dalam rumah; kesunyian yang pasti – resahnya memang terasa. Namun, dalam ligat berfikir mencari noktah penyelesaian, rasanya seorang itu lebih baik dari ramai. Kesunyiaan dan keseorangan membolehkan saya menghabiskan banyak kerja tanpa diganggu sesiapa.

Mencari dan meningkatkan motivasi diri rupanya tidak perlu memikirkan sesiapa. Jika kita berkeinginan menyiapakan dan membuat sesuatu tanpa disuruh dan dipaksa, itulah motivasi kepada diri kita. Terima kasih kerana kesunyian dan keseorangan itu memberi ruang cukup besar menilai kekuatan diri!!

Ahad, 12 Disember 2010

CUTI O CUTI

Cuti. Tiada sesiapa pun dalam dunia ini yang tidak mahu menikmati masa cuti. Baik golongan bekerja, pelajar mahu pu suri rumah sepenuh masa. Cuti merupakan satu jangka masa untuk setiap individu merehatkan diri dari segala kekangan kerja yang menimbun dan kadang-kala menimbulkan pula stress. Namun persolannya sejauh manakah seseorang pelajar bijak memanafaatkan cuti yang diberikan kepada mereka untuk memperbaiki perhubungan bersama keluarga dan seterusnya menambah nilai dalam kualiti kehidupan?? Sejauh manakah pula ibu bapa memainkan peranan mereka dalam menghadapi musim cuti sekolah yang masih berbaki? Sedar atau pun tidak, golongan bekerja selalunya berhadapan dengan pelbagai tugasan mendesak sepanjang bulan Disember. Ketika inilah tuntutan-tuntutan pekerjaan mendambakan pelbagai penyelesaian yang perlu dibereskan mengikut takwim diminta. Sedangkan pada ketika yang sama anak-anak yang sedang bercuti menuntut ‘fitrah’ mereka sebagai seorang insan. Keperluan fisiologi, kasih-sayang dan perhatian! Kegawatan bulan Disember yang memerlukan perancangan teliti ibu bapa, anak-anak dan majikan perlu diambil kira. Ini tidak termasuk tuntutan masyarakat – kenduri-kendara, sakit malahan kematian. Sejauh manakah kesemua tuntutan individu ini dapat dipenuhi bergantung kepada kebijaksanaan semua pihak menangani permasalahan dan kekalutan yang timbul. Jika bijak merancang, maka hasilnya akan membuahkan sesuatu yang cukup indah buat insan-insan tersayang. Luangkan walau seminit untuk memberi dan menerima anak-anak yang telah dibiarkan lama bertarung di medan ilmu untuk membina kekuatan dalam hubungan kekeluargaan. Marilah sama-sama kita membina semula sebuah keluarga sepanjang cuti yang masih belum melabuhkan tirainya ini. Selamat bercuti! Selamat membina keluarga harmoni!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...