Jumaat, 12 November 2010

MENGECAPI SEBUAH KEJAYAAN




Tanggal 11 November 2010, ketika hati berdetik kecemasan lantaran beribu harapan berbaur-baur di celah-celah kerisauan, tiada apa yang terlintas di fikiran selain doa, selawat dan zikir. kerisauan di hati jika boleh diukur rasanya begitu tinggi. Kelewatan pengumuman daripada pihak sekolah juga kelewatan puteri bongsuku menghubungi menambah resah yang sudah bertambah. Namun, penantian dari beberapa hari ternoktah dengan kemasukan SMS di talian telefon bimbitku. "Mom, ah dapat 5a, alhamdulillah. Yang lain xtau lagi. Nanti ah telefon"
Syukran. Terima kasih Allah. Alhamdulillah.
Bagaimana ingin ku rakamkan ucapan terima kasih atas segala yang Kauberikan kepada kami kerana terlalu sedikit yang kami balas kepadaMu, ya.. allah.
Terima kasih Allah kerana memberikan sebuah kejayaan yang tidak ternilai kepada anakku Farah Izzati dan aku sekeluarga. Moga kejayaan ini berkekalan dan anak-anakku lahir sebagai yang soleh dan solehah. Dapat sentiasa menabur bakti kepada kedua ibu bapa, masyarakat dan negara; berjuang untuk bangsa dan agama serta sentiasa mentaati perintahMu sepenuhnya.

Rabu, 10 November 2010

Mengemas Banjir di Bahiyah

















Selepas beberapa hari dilanda banjir, semua warga masih sibuk mengemas. Melihat kepada segala kesukaran, kebinasaan dan kehilangan, kadang-kala tertanya-tanya adakah kita akan terus mampu menempuhnya?? Moga kita akan sama-sama mempunyai kekuatan untuk menghadapinya dengan 1kepercayaan bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Selasa, 9 November 2010

SEKOLAH KAMI 9 NOV 2010

Selepas beberapa hari ‘dicutikan’ kerana musibah banjir yang melanda, hari ini seluruh warga SMK Sultanah Bahiyah kembali ke sekolah. Sebenarnya sebelum menjejakkan kaki ke sekolah pagi ini, jauh di sudut hati sudah berkata-kata. Bagaimana agaknya tempat kami mencari rezeki? Tempat anak-anak kami menimba ilmu? Setelah musibah (jika boleh dikatakan sebagai musibah tapi rasanya lebih kepada suatu peringatan dari Allah) ini melanda daerah kami?? Rata-rata warga warga Bahiyah rasanya berangggapan yang sama, mempunyai harapan yang sama malah barangkali ingin mempunyai igauan a
Itulah harapan awal. Harapan yang rasanya tidak ada sesiapa pun dapat laksanakan. Semuanya, bilik guru, kelas-kelas, kedai koperasi, stor sukan, bilik peperiksaan dan lain-lain rosak teruk. Bagaimana hendak dikatakan lagi apabila melihat semua itu? Kedukaan dan kesediahan terasa amat. Terasa ada air mata yang bergenang. Tapi… untuk apa menangis sedangkan orang lain tidak menunjukkan riak itu.
Ramai-ramai bagai satu keluarga besar, sama-sama membersihkan semua sudut dan ruang yang dipukul badai banjir beberapa hari lepas. Bau yang masam, busuk, hangit tidak terkata. Semua peralatan dipegang melekit dan terasa tidak berupaya untuk dipegang. Namun, melihat kegigihan anak-anak didik, yang tidak mengenal erti busuk, hanyir dan juga hapak, kami ramai-ramai bertungkus-lumus. Menarik dan mengutip mana-mana yang rosak. Mengumpul di kaki lima bilik guru, menarik meja-meja yang tidak dapat digunakan lagi di sebelah anjung Petah Bicara. Menempatkan semuanya di suatu tempat lapang yang akan memudahkan proses pembersihan.
Subhanallah, banyak sungguh kerugian yangn dialami pihak sekolah. Kerugian yang dialami guru-guru. Hasil kerja guru bertahun musnah dengan sedikit ‘peringatan air’ dari Allah SWT. Hampir semua kerja buat guru musnah. Ada guru yang tidak tahu apa yang boleh disimpan, semuanya basah. Hanya ‘tong sampah’ sahaja yang layak menerima semua yang telah musnah itu.
Seharian dari pagi ke tengah hari bertungkus-lumus, bilik guru akhirnya tinggal kosong. Hanya tinggal kerusi yng masih boleh digunakan. Yang lain-lain?? Apa pun juga, terima kasih kepada seluruh pelajar yang berusaha bersama-sama membersihkan bilik guru kita serta seluruh ruang yang ada termasuk makmal, sudut kaunseling, koperasi dan lain-lain. Andalah anak-anak Bahiyah yang sentiasa meletakkan Bahiyah di barisan paling hadapan. Biar apa pun gelombang yang datang, kita pasti kuat kerana tangan-tangan kita saling bertautan!!
Terima kasih Cikgu Rahinun kerana menjadi nadi pengerak yang tidak pernah menunjukkan seribu satu kekesalan kerana kita sentiasa bersyukur atas nikmat Allah SWT yang tentunya mempunyai hikmah yang tidak terjangkau di fikiran!!

Isnin, 8 November 2010

IKTIBAR BANJIR 2010

Apabila banjir melanda Negeri-negeri Utara Semenanjung bermula 1 November 2010 pelbagai suara kita dengar. Banyak pihak memberikan pendapat dan pandangan melalui media-media cetak dan elektronik. Kadang-kala pendapat dan pandangan yang diberikan begitu memualkan. Persoalan yang timbul sekarang adalah cara membantu mangsa. Bukan menunding jari kepada pihak-pihak tertentu. Pengalaman bertugas seketika di pusat penempatan banjir memberi banyak kesedaran. Manusia selalunya tidak pernah belajar menginsafi diri. Kesukaran menghadapi banjir tidak mengajar sesuatu kepada mangsa. Terasa begitu daifnya manusia. Persoalan makanan tidak cukup untuk mangsa bukan persoalan baru. Apabila terlalu ramai mangsa ditempatkan bagi satu-satu tempat penempatan, pelbagai isu dan permasalahan timbul. Sikap pentingkan diri sendiri begitu sinonim dengan insan-insan sebegini. Dalam situasi darurat begitu masih ada yang mengambil makanan dan menyorok dalai beg-beg persendirian. Ada yang mementingkan keluarga – makan seperti di rumah sendiri, ikan nak 2@3 ekor seorang, telur tidak cukup sebiji, roti dan air diambil secara berlebihan. Akibatnya ada orang yang tidak dapat bahagian. Lebih menyedihkan apabila ada yang tidak dapat makanan kerana tidak berupaya berebut-rebut dan beratur mendapatkan makanan yang disediakan. Kasihan sungguh..
Kesukaran menyalurkan makanan dan bantuan bukan disebabkan pihak-pihak teertentu lepas tangan. Kejadian banjir yang diluar jangka, menyebabkan ramai orang menjadi kelam-kabut. Kejadian 2005 berbeza berbanding 2010. Air naik mendadak dan melimpah ke merata-rata tempat yang tidak terjangkau di fikiran. Bayangkan Hutan Kampung yang tidak pernah dimasuki air, ditenggelami melebihi 1 meter. Begitu juga Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Langgar. Semuanya dilimpahi dan dibanjiri air. Keadaan menjadi terlalu tidak terkawal. Bukan tidak ada bantuan tetapi kesukaran pengagihan berlaku di mana-mana. Tidak ada kenderaan yang sesuai, perhubungan terputus, air yang mengalir terlalu deras dan laju. Amat menakutkan. Bagaikan tsunami; walaupun tidak dilanda badai seumpamanya tetapi impaknya cukup besar.
Dalam kegawatan itu, elektrik dan air bersih juga menjadi terlalu sukar. Giant dan Tesco kehabisan air mineral. Malahan lilin juga. Kedai-kedai kecil di kampong-kampung ditutup kerana air melimpah hingga ke kampung. Ada satu, dua kedai runcit yang menyediakan bekalan, menjual dengan harga berlipat ganda. Ambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Lilin menjadi RM3.50 untuk 6 batang. Ikan kering, bilis, minyak masak juga dijual sekali ganda. Semua makanan kering ‘sold out’ dan taukeh cina di kedai-kedai runcit yang tidak dimasuki air untung besar dalam masa 2 hari. Kesukaran sebenarnya tidak saja dialami mangsa tetapi orang-orang berhampiran yang merasai tempias banjir itu sendiri. Impaknya tidak sedikit malahan cukup besar.
Apapun yang berlaku sebenarnya, dalam kekalutan menghadapi bencana alam ini sepatutnya semua pihak sama ada kerajaan, badan NGO malahan orang perseorangan perlulah sentiasa berbaik sangka. Tidak meletakkan sentimen politik dalam membicarakan sebarang isu. Ini kerana implikasinya amat besar kepada rakyat yang menanggung bebanan dari kesengsaraan yang mereka alami. Media-media elektronik tidak perlu membangkit-bangkitkan ruang kemarahan rakyat kerana dalam situasi yang begitu menekan seperti apa yang berlaku di utara Tanah Air yang perlu adalah kata-kata perangsang – dapat menghidupkan semula jiwa yang hampir kontang, hati yang sudah gersang malahan kehidupan yang terasa hilang. Menjadi tanggungjawab moral setiap badan (individu mahupun kerajaan) menghulurkan tangan agar mereka sentiasa yakin bahawa diri mereka masih ada yang sayang. Subhanallah. Alhamdulillah. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu nikmat disebalik apa yang berlaku dari musibah banjir ini. Insya’Allah.

Ahad, 7 November 2010

BANJIR 0H BANJIR

Sebenarnya hujan yang melanda negeri-negeri Utara hanya berlaku selama 2 hari iaitu pada 31 Oktober dan 1 November. Pagi 2 November sebaik sampai di Maktab Mahmud untuk memberi sedikit pendedahan berkaitan Personaliti dan Kerjaya, aku terkejut melihat keadaan di sekolah tersebut. Air menaiki laluan ke blok B.
Jam 11.30 pg, dalam perjalanan balik ke sekolah, aku menerima telefon daripada PPD Kota Setar. Diminta berkhidmat dalam team Smart Supporting di SK Titi Gajah membantu mangsa banjir di sana. Dengan izin pengetua terus ke tempat duty. Air naik membuak-buak di situ. Kaki terendam selama lebih 3 jam dalam air. Mengumpul pelajar-pelajar di bawah Dewan Terbuka. Sedikit taklimat dan pesanan selain mengenali mangsa-mangsa banjir yang rata-rata pelajar sekolah rendah.
Suasana agak kelam kabut. Jabatan Kebajikan Masyarakat membuat pemdaftaran baru. Bilangan mangsa bertambah. Beberapa badan NGO, persendirian, parti politik tampil menghulur bantuan. Air yang naik memaksa beberapa mangsa di penempatan bawah (Bilik Prasekolah dan sekitar) mencari tempat selamat. Bilik-bilik darjah di ruang atas telah dipenuhi mengsa terawal. Di atas pentas dewan terlantar mangsa yang sakit (lumpuh) serta beberapa keluarga lain. Pihak JKM memaklumkan satu lagi penempatan baru dibuka di SK Wawasan Taman Aman. Aku dan Ustaz Hazman ditempatkan pula di situ. Air di semua kawasan telah terputus, termasuk di rumahku.
Malam 10.00 malam 2 November, aku tidak dapat memasuki SK Wawasan Taman Aman. Jalan ditutup. Air melimpah hingga ke jalan besar. Aku balik dengan harapan esok dapat memasuki kawasan penempatan itu.
Rakan-rakan sekolahku di Jitra telah menerima 'kemurkaan' ini lebih awal. Azlin, Roslina, Ustaz Lamin malahan teman-teman guru yang lain. Semuanya sedang bertarung menghadapi bencana dan peringatan Allah ini.

3 November 2010
Seawal 7.15 pg aku sudah bersesak-sesak dengan pengguna lain untuk ke SK Wawasan Taman Aman. Kenderaan beratur panjang. Air yang naik semakin tinggi. Aku terpaksa berpatah balik ke SMK sultanah Bahiyah. Berada di sekolah dalam suasana cukup tidak selesa. Panggilan Mawardi menceritakan keadaannya di Arau (UiTM) menambah kebimbangan tambahan bila hujan dikhabar masih turun di daerah itu. Pukul 10.00 pg, suami memberitahu 'ban' di Bohor pecah. Di sekolah terasa tidak selamat. Semua guru berada dalam kegusaran. Apabila sampai ke rumah, jalan Bohor untuk ke Kepala Batas telah ditutup. Air naik begitu cepat. Sahabatku Paziah tidak dapat pulang ke rumah. Kesian.
Petang anakku Fatin Naimah balik seawal 4.00 ptg. Air di asrama tidak ada dan semua penghuni asrama terpaksa pulang ke rumah. Kami masih boleh bertahan memandangkan air di dalam kolah rumah masih berbaki.

4 November 2010
Terkejut bila sampai di pintu pagar sekolah. Air melimpah sehingga ke Shell dan Esso. Jalan Sutanah dilimpahi air sehingga paras lutut. SMK Sultanah Bahiyah?? Kami diarahkan pulang. Inilah sejarah terbesar air membanjiri sehingga kesini. Semua kawasan sudah dilimpahi air. Balik ke rumah. Ambil keputusan mengangkut air dari tali air di sebelah rumah. Tidak tahu bila bekalan air akan pulih semula.
11.00 pg, Jalan Sultanah ditutup untuk lalu lintas. Keadaan menjadi sedikit cemas, anakku Farhana hanya akan dilepaskan dari sekolah pada pukul 12.30 tgh. Suamiku membebel kerana kesukaran untuk ke SMK Agama Kedah. Melalui Maktab Mahmud dan pusing balik untuk membawa anakku pulang ke rumah. Kesukaran mula dirasai. Tapi setakat ini bersyukur kerana kawasan kami masih lagi selamat. Di hadapan rumahku berpuluh kenderaan diparking. Kesian.., tapi syukurlah masih ada tempat untuk meletak kenderaan.
Malam beberapa taman di sekitar jalan Langgar mula dinaiki air. Banyak kampung di sekitar sudah mula tenggelam 1 kaki ke 2 kaki dan ada yang sampai 1 meter. Malam elektrik terputus. Anak-anak datang ke hadapan, berkumpul tidur berhampiran aku. Beberapa batang lilin kupasang untuk menghilangkan kerisauan di hati anak-anak.

5 November 2010
Sebaik suami balik dari masjid, suatu berita mengejutkan. Air naik di Jalan Hutan Kampung. Tidak ada kenderaan boleh melalui Jalan Hutan Kampung lagi!! Kami terkepung di tengah-tengah. Air sekarang melimpah hingga ke persimpangan highway, rumah MB malahan sebahagian Jalan Langgar - Pokok Sena. Musibah apakah ini?? Banyak sungguh mangsa yang perlu dibantu. Semua orang memerlukan bantuan. Makanan, air bersih dan sebagainya.
Aku dan anak-anak mengambil keputusan mengumpul baju-baju lama untuk diagihkan kepada mangsa si SMK Hutan Kampung. Ramai yang datang sehelai sepinggang. Ada yang sakit dan banyak keperluan tidak dapat disalurkan kerana kesukaran bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Makanan basah dan kering kebanyakannya habis di kedai-kedai dan pasaraya. Kalau ada pun ada yang tidak mampu membeli kerana tidak dapat membawa wang bersama ketika diarahkan berpindah. Allah bersyukur sangat kerana kami terselamat walaupun kesukaran tetap terasa. Namun.., kesukaran itu ternyata lebih baik jika dibandingkan dengan mangsa-mangsa di tempat pemindahan yang kehilangan segala-galanya.

6 November 2010
Keadaan masih tidak berubah. Air dikatakan memasuki bandaraya Alor Setar. Kami hanya di rumah. aku mengambil kesempatan memasak makanan yang mudah. Boleh makan 2@3 kali. Dalam kaedaan sukar, perut masih perlu diisi. Anak-anak ternyata belajar dari kesusahan, ambil masa basuh, bilas dan sidai baju. Aku melihat kesungguhan dan keikhlasan anak-anak dalam situasi sukar seperti ini. Lilin dalam rumah sudah habis. suami mengajak kami meninjau-ninjau jalan-jalan yang boleh dilalui untuk mencari lilin dan sedikit makanan kering. stok dalam rumah hanya tinggal telur. Tidak ada apa yang berbaki. Kami melalui lebuhraya untuk ke alor Setar Selatan. Melalui kesesakan lalulintas, kesesakan pemikiran dan kerisauan yang agak tinggi. Mencari lampu guna bateri dan beli sedikit keperluan. Makan malam dan sempat solat di masjid persimpangan ke Kuala Kedah. Balik melalui jalan dalam bandaraya; kerisauan kembali memuncak. Air kelihatan di mana-mana. Hebat sungguh banjir kali ini.
Akhirnya kami kembali ke lebuh raya, menyusuri jalan yang dikiri-kanan dileimpahi air membuak-buak. Ketakutan, kerisauan. Allah... hanya doa moga semua ini akan segera reda.
Kami sampai ke rumah setelah melalui segala kesukaran dalam perjalanaan. Melalui sesuatu yang sebelum ini tidak pernah kami lalui. Dua puluh tahun di Alor Setar inilah saat-saat sukar yang kami lalui. Kesukaran yang diberi Allah SWT sebagai satu peringatan. Maha suci Allah kerana aku tahu disebalik segala apa yang berlaku ada hikmatMu yang tidak ternilai.

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...