Selasa, 27 April 2010

BERUNTUNGLAH MENJADI WANITA

Anda wanita, saya juga wanita. Kita sama-sama wanita. Sebagai wanita kita punya amanah yang perlu ditunai. Ada ketika hati jahat berkata, "Kenapa mesti aku, kenapa tidak lelaki?" Kita sering terlupa bahawa Allah SWT menjadikan makhlukNya dengan bersebab. Tidak ada sebab kenapa Allah menjadikan kita seorang wanita berbanding lelaki. Wanita sebenarnya amat besar ertinya di sisi Allah. Jadi sebagai wanita kita perlu sentiasa bersyukur kerana dipilih menjadi seorang wanita dan bukan seorang lelaki. Berikut antara sebab mengapa menjadi seorang wanita itu sangat beruntung.

  • § Wanita pada zaman pemerintahan Yunani dan Rom dikurung di dalam rumah, tidak diberi hak menuntut ilmu dan tidak berhak menerima pusaka.
    § Mereka boleh dihalau dari rumah pada bila-bila masa.
    § Sering didera dan diseksa tanpa sebarang pembelaan undang-undang.
    § Boleh dijual sebagai hamba untuk atasi kemiskinan.
    § Di Eropah, wanita dahulu dirantai, disiram air panas dan dipaksa memakai cawat besi.
    § Islam memartabatkan wanita dan diberi kedudukan yang istimewa misalnya dalam hadis
    yang berbunyi, “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu”.
    § Wanita boleh menjadi tiga dalam satu iaitu ibu, isteri dan anak kepada lelaki; tetapi tidak
    lelaki.
    § Mendapat ganjaran daripada Allah SWT bagi sesiapa yang memelihara tiga anak
    perempuan atau tiga saudara perempuan, dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu berbuat baik kepada mereka.
    § Untuk itu ingatlah WANITA bahawa dunia ini penuh dengan ranjau dan dugaan, dunia ini
    penuh tipu daya dan syaitan, jangan lalai tanpa tujuan kerana dunia ini adalah persinggahan sementara.

Isnin, 26 April 2010

Cara Membentuk Matlamat Diri

Terdapat pelbagai cara untuk membentuk matlamat diri ke arah mencipta kejayaan dan kecemerlangan. Antaranya adalah seperti berikut;

  • Pelajar yang cemerlang mempunyai matlamat yang jelas.
  • Matlamat memberikan kita tenaga untuk bertindak.
  • Jika kita ada matalamat,kita sering berusaha untuk mencapainya.
  • Matalamat memberikan kita hala tuju.
  • Pelajar perlu bertindak mengikut matlamat yang ditetapkan.(Jika matalamatnya untuk mendapatkan 9A dalam SPM @PMR, sudah tentu akan belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh.)
  • Matlamat mendisiplinkan diri kita.(Kamu akan belajar mengikut jadual waktu jika kamu bertekad untuk mencapai matlamat)

Marilah kita sama-sama membina matlamat diri kita semoga kita sama-sama memperoleh kejayaan dan kecemerlangan berpanjangan.

Jumaat, 23 April 2010

AIRMATA RASULULLAH SAW..

Tak bosan-bosan rasanya membaca kisah ini... Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. 'Bolehkah saya masuk?' tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, 'Maafkanlah, ayahku sedang demam', kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, 'Siapakah itu wahai anakku?' 'Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,' tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan.Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.'Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut,' kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.'Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?', tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.'Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu, ' kata Jibril.Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. 'Engkau tidak senang mendengar khabar ini?', tanya Jibril lagi.'Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?''Jangan khawatir, wahai Rasul! Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,' kata Jibril.Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik.Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. 'Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.' Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.'Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?' Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.'Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,' kata Jibril.Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.
'Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.' Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. 'Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku' 'peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.'Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.'Ummatii, ummatii, ummatii ' - 'Umatku, umatku, umatku'Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihiBetapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Selasa, 20 April 2010

Alangkah Indahnya Kejayaan

Hari ini dan semalam saya terus didatangi anak-anak pelajar yang bakal menjadi mahasiswa dalam masa terdekat ini. Apabila melihat mereka yang datang tanpa mengenal putus asa serta semangat berkobar-kobar, saya teringat ketika saya berusia sebaya mereka suatu ketika dulu. Saya juga pernah melalui detik-detik manis apabila dipanggil menghadiri temuduga untuk melanjutkan pelajaran. Malah saya juga pernah menduduki temuduga sama ada berbentuk lisan mahupun bertulis. Sayangnya meskipun saya berjaya mendapat tempat di IPTA ketika itu, saya memilih ke tingkatan 6 dan seterusnya ke maktab perguruan. Semuanya kerana kemiskinan.

Tapi semuanya sudah lama berlalu. Saya sudah menjadi guru sejak 1989 sehingga kini. Berkat usaha gigih serta motivasi diri yang tinggi ditambah dengan semangat yang diberi oleh suami, saya juga berjaya melanjutkan pelajaran dan menggenggam ijazah kelas pertama dalam bidang bimbingan dan kaunseling. Saya merasakan kejayaan yang saya kecapi adalah detik paling manis walaupun ketika ingin menghabiskan pengajian saya kehilangan 2 insan yang saya sayangi iaitu ibu saya Aminah dan kekanda saya Latifah. Enam bulan selepas itu saya kehilangan seorang lagi insan yang memberi erti dalam kehidupan saya iaitu ayahanda saya Mahmud.

Namun, semua itu tidak pernah melemahkan semangat saya. Kawan-kawan di keliling saya ketika itu banyak menyuntik semangat sehingga membolehkan saya mengecapi kejayaan demi kejayaan. Dengan anugerah dekan saban semester, menjadikan impian saya semakin menjadi kenyataan. Saya amat berterima kasih kepad suami saya Mohammad Sobri serta putera saya Mawardi dan puteri-puteri saya Farhana, Fatin dan Farah yang menjadi sumber kekuatan utama saya. Tanpa pengorbanan mereka terutama suami saya yang menanggung kos pengajian saya sudah pasti saya tidak akan berada di kemuncak ketika ini.

Alhamdulillah, kejayaan-kejayaan yang saya nikmati merupakan saat-saat paling manis dan saya berharap agar anak-anak saya Mawardi, Farhana, Fatin dan Farah akan mencipta kejayaan demi kejayaan dalam kehidupan mereka sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Begitu juga dengan anak-anak didik saya yang sekarang sedang menanti peluang melanjutkan pelajaran, semoga kejayaan menjadi milik anda. Sesungguhnya apabila kita berjaya, itulah saat paling indah untuk kita.

Isnin, 19 April 2010

Disiplin Menjana Kecemerlangan

Isnin lepas 12 April, puteri bongsu saya Farah Izzati telah menyertai pertandingan Pidato Peringkat PKG Langgar di SK Titi Gajah. Alhamdulillah, meskipun tidak mendapat tempat pertama namun beliau masih mendapat tempat ketiga terbaik daripada 15 orang peserta semuanya. Berikut merupakan teks pidato yang telah disampaikan oleh puteri saya itu;

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis yang budiman, yang sudi memberi laluan, barisan panel hakim yang bijaksana, pastinya cendiakawan, para guru yang disanjungi, seterusnya, teman rakan yang disayangi. Assalamualaikum w.b.t. Salam sejahtera juga Salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran kehadrat IIlahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita dipertemukan dalam majlis pada pagi ini. Izinkan saya para hadirin sekalian untuk beraksi menyampaikan sebuah pidato penting yang bertajuk, ‘Disiplin Menjana Kecemerlangan’.

Sidang dewan yang saya muliakan,
Sebelum saya meneruskan bicara, menyusun kata-kata, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya pada hari ini. Menurut Kamus Dewan disiplin merupakan satu latihan pemikiran dan kelakuan supaya seseorang individu dapat mengawal diri dan patuh pada peraturan atau tata tertib. Menjana pula adalah penggerak atau pemacu, manakala kecemerlangan didefinisikan sebagai kegemilangan atau kejayaan yang dicapai oleh individu. Rumusannya; kepatuhan kepada peraturan dan tata tertib dapat menjadi penggerak atau pemacu ke arah kejayaan atau kegemilangan hidup seseorang.

Hadirin sekalian,
Hujah saya yang pertama. Individu yang berjaya adalah individu berdisipin. Sejarah membuktikan bahawa seseorang yang berdisiplin, yang patuh kepada peraturan dan undang-undang akan mengapai kejayaan. Kenapa saya katakan begitu?? Nik Nor Madhihah contohnya, pelajar cemerlang SPM 2008 membuktikan bahawa seorang individu yang dhaif, serba kekurangan tetapi dapat berada di kemuncak kejayaan kerana memiliki disiplin diri yang tinggi. Beliau bukan sahaja mempunyai jadual yang ketat, malahan amat mematuhi peraturan yang dibinanya sendiri. Kejayaan Nik Nor Madhihah ini membuktikan bahawa, dengan adanya disiplin, kejayaan dapat dicipta dan dibentuk!!

Orang yang berdisiplin akan sentiasa mengawal diri dari mengambil pemakanan yang kurang sihat. Demikian hujah saya yang kedua. Pemakanan amat penting untuk melahirkan individu yang bersih diri dan minda. Individu yang berdisiplin akan sentiasa mengelak daripada mengambil makanan berbahan perasa, berpengawet malahan berkarbonat. Pengambilan makanan seperti ini bukan sahaja menyebabkan kegemukan dan obesiti malahan melemahkan daya ingatan dan menyukarkan proses menghafal. Persolannya sejauh manakah kenyataan ini benar?? Menurut Adi Putera, seorang kanak-kanak genius Matematik ketajaman ingatannya adalah kerana beliau tidak mengambil sebarang makanan ringan tetapi mengamalkan kismis dan kurma!! Nah..., hadirin sekalian apa lagi yang kita fikirkan, tepuk dada tanyalah jiwa.

Sidang dewan sekalian,
Individu yang berdisiplin adalah individu bermotivasi tinggi. “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan”. “Memilih untuk berdisiplin, anda pasti terpimpin”. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu auta”. Orang yang bermotivasi sentiasa mempunyai semangat juang dan inginkan persaingan. Sekiranya kita berada dalam zon selesa, tanpa sebarang persaingan, mana mungkin kita dapat membina kejayaan! Contohnya saudara-saudari sekalian, saya tidak akan berdiri di sini kalau saya tidak ada motivasi! Saya tidak akan menyertai pertandingan ini jika saya tidak ingin merasai nikmat persaingan! Melalui pertandingan ini saya belajar berdisiplin. Mana tidaknya?? Saya perlu menghafal, perlu mencari isi, perlu belajar berintonasi? Perlu menghilangkan rasa gentar. Perlu juga membahagikan masa. Jadi dengan adanya motivasi diri yang tinggi saya dapat membentuk disiplin diri.

Orang yang berdisiplin tinggi seperti Dato’ Lee Cheong Wei, Dato’ Nicol Ann David, Dato' Sharifah Mazlina dan Dato’ Dr, Sheikh Muzaffar contohnya adalah individu berdisiplin dan mempunyai kemahuan tinggi. Sedarkah anda bahawa percubaan dan ujikaji ribuan kali dilakukan oleh Thomas Adison untuk mencipta lampu yang dapat kita nikmati faedahnya sehingga kini dan ratusan kali Colonel Sanders menguji resepi KFCnya sehingga kita semua menjamahnya sekarang sampai menjilat jari. Kepatuhan kepada disiplin telah membolehkan mereka mengharumkan nama negara. Siapa sangka seorang wanita seperti Datuk Mazlina dapat menawan Antartika? Siapa sangka Dato’ Dr. Sheikh Muzaffar boleh sampai ke angkasa? Siapa sangka semua mereka ini boleh berjaya. Lihatlah saudara, lihatlah dunia – orang yang berdisiplin, kejayaan milik mereka!! “Siapa yang menuai, dia akan dapat hasilnya”.

Hadirin sekalian,
Resepi kejayaan telah saya suapkan, ambil, kunyah dan telan dalam diri. Akhir kata sebelum mengundurkan diri saya tegaskan sekali lagi, disiplin diri yang jitu mampu membawa seorang individu ke gerbang kejayaan. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata!!
Sekian, wabillahitaufik walhidayah WSLM.

Ahad, 18 April 2010

TERUSKAN : PERJUANGAN ANDA BARU BERMULA

Sudah lebih 3 bulan, 2009 melabuhkan tirai. Namun hanya hari ini saya berkesempatan menulis semua dalam blog ini. Sudah agak lama saya berangan-angan untuk mencoretkan sesuatu dalam blog ini. Sayangnya kekalutan dalam menguruskan kerja harian saya sering tidak berkesempatan. Namun, biarlah lewat asalkan saya tidak pernah melupakan blog yang saya bina khusus untuk teman-rakan serta anak-anak didik yang sentiasa saya kasihi.

Baru 2 - 3 hari lepas, saya menerima berita gembira daripada anak-anak didik SMK Sultanah Bahiyah tahun 2009. Kegembiraan ini tidak dapat saya sembunyikan. Apa pun tahniah kepada semua yang berjaya mendapat tempat di Matrikulasi. Masing-masing menghubungi saya dengan nada cukup gembira. Apa lagi yang diimpikan oleh seseorang pelajar selain peluang-peluang tersedia untuk mengorak masa depan ke arah kerjaya yang lebih mencabar?

Saya ingin merakamkan pesanan agar semua yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran, akan terus memperjuangkan nasib dan masa depan. Sudah sering kita lihat puteri-puteri Bahiyah berada di kemuncak ketika berada di IPT - semua ini kerana usaha yang dilakukan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan keinginan dan hasrat saya kepada seluruh warga Bahiyah yang berjaya ke menara gading - Jom Kita Cipta Kejayaan Demi Kejayaan Kerana Tidak Akan Terhasil Kejayaan Tanpa Usaha Yang Berterusan. Mari kita mulakan. Dan permulaan itu adalah dari langkah anda ke mana-mana juga institusi bermula pada hari pertama anda menjejakkan kaki.

Salam kasih dari saya, Anda pasti berjaya!!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...