Selasa, 24 Mac 2009

APA ITU MOTIVASI

Persaingan yang sihat dapat menjadi motivasi yang kuat dalam belajar. Namun memupuk rasa persaingan yang berlebih-lebihan ketika belajar akan menimbulkan persaingan yang tidak sihat, kerana pelajar bukan semakin giat belajar, tetapi akan berusaha dengan berbagai-bagai cara untuk mengalahkan pelajar lain bagi mendapatkan status. Membangun sikap suka bersaing dengan pelajar-pelajar lain secara sendirian akan menimbulkan motivasi dan persaingan yang sihat dan berkesan ketika belajar.
Motivasi yang diarahkan oleh diri sendiri sangat berkesan dalam meningkatkan motivasi diri ketika belajar. Pelajar-pelajar yang mempunyai sikap seperti ini menunjukkan tingkah laku yang mandiri dalam belajar dan mempunyai sistem nilai yang baik yang berlatar-belakangkan tingkah laku mereka itu. Pembentukan sistem nilai-nilai yang menjadi tanggung jawab guru pada setiap pelajar, sehingga pelajar-pelajar memiliki motivasi yang diarahkan oleh diri sendiri adalah sangat penting. Bagi pelajar-pelajar yang telah memiliki motivasi yang diarahkan oleh diri sendiri, guru hanya perlu memberikan pelayanan yang sesuai dengan tuntutan aktiviti belajar mereka.

Kaedah Belajar Berkesan

1. Semasa di kelas, berikan tumpuan sepenuhnya kepada proses pengajaran guru.
2. Sentiasa bersoal-jawab dengan guru dalam hal-hal pelajaran.
3. Membaca setiap nota yang diberikan oleh guru.
4. Membuat latihan-latihan yang disediakan oleh guru serta mencari latihan-latihan tambahan dari buku-buku latihan.
5. Memahami apa yang dibaca.
6. Membuat nota ringkas untuk semua mata pelajaran.
7. Menggunakan kaedah, simbol dan tanda-tanda tertentu untuk memudahkan pembelajaran.
8. Belajar menggunakan komputer untuk mendapatkan kefahaman tambahan.
9. Mengadakan kumpulan perbincangan bagi semua mata pelajaran.
10. Mendapatkan pengetahuan daripada pelbagai bahan rujukan sama ada buku,majalah, akhbar dan internet.
11. Mempelajari teknik-teknik menjawab soalan setiap mata pelajaran
.

Isnin, 23 Mac 2009

APA ITU TEKANAN

Tekanan merupakan satu pengalaman yang lumrah dalam kehidupan manusia. Setiap manusia tidak dapat lari daripada tekanan tang boleh berpunca dariapada peristiwa- peristiwa dalam kehidupan baik dalam bentuk fizikal, sosial dan psikologikal. Kesan tekanan ke atas seseorang individu banyak bergantung kepada ciri-ciri dan sikap individu itu bagaimana untuk mengatasinya.
Smither (1994) menakrifkan tekanan sebagai respon fisilogikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Schafer (1992) mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbals kepada permintaan terhadap dirinya. Fontana (1989) pula memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangani permintaan itu, maka tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif.
Oleh itu, para pelajar perlu bijak menangani pelbagai bentuk tekanan yang datang dan hadapi segalanya dengan cara berlapang dada kerana kebijaksanaan menghadapi tekanan akan mematangkan diri anda.

Jumaat, 13 Mac 2009

SIAPALAH KITA SEBENARNYA

Akan berubahkah pasir
andai ombak menampar pipinya acapkali
atau bergegarkah alam
tika angin berhembus, bernafas di sisi?

Kita hanya bisa menghitung membilang datangnya hari
juga menunding pada berlakunya tragedi
sedang ombak tidak rela mengubah pantai
atau angin tidak mahu menggegar alam
katanya
‘aku hanya mampu menyerah, sedangkan ada tangan yang lebih gagah’.

Ah… siapalah sebenarnya kita
hanya secebis dari sekeping yang ada
hanya secalit dari berjuta-juta
hanya habuk ibarat daki dunia
yang mampu mengangguk menyatakan ‘ya’
yang terus terangguk-angguk
membantah hanya diperap sahaja
ungkapan ‘tidak’ di halkum cuma.

EPILOG DUKA – UNTUK SIAPA

(Buat renungan juga ingatan)

Anak-anakku
Lapan mata empat mulut semuanya
Sering meminta-minta
Sering bertanya-tanya
Tidak lagi kukira sepasang mata ibu tua
Juga kaki kaku bapaku yang tidak berdaya
Yang acapkali merenung tanpa kata
Menambah luluh hatiku yang gersang tidak upaya.

Bagaimana inginku bahagiakan
Meski kata mereka gajiku mencecah empat angka
Enjin kereta – dua
Perluku isi untuk ke tempat kerja.

Anak-anaku
Semalam bersungut bertanya baju raya
Katanya sudah lama tidak berpakaian boria
Ibuku juga turut menghitung membilang kenapa
Harga beras sudah naik berganda
Malah bapaku yang tidak mampu bergerak asyiknya meminta-minta
Ingin ubat lebih baik untuk sakitnya yang kian derita.

Bagaimana dapatku jawab persoalan
Kerana di depanku masih kabur tiada cahaya
Siapakah agaknya yang bakal menghulur
Walau hanya sekelumit kata
Sedangkan derita bukan hanya aku sahaja yang rasa
Malah ada banyak lagi tangan meminta
Yang aku sendiri tidak pasti
Kepada siapa!!

Rabu, 11 Mac 2009

RASA KASIH PERLU DIPUPUK

'Sultanah Bahiyah sekolah menengah kita'
Itu salah satu baris yang terdapat dalam lagu sekolah kita. Cikgu teruja untuk membicarakan tentang sekolah kita serta kasih sayang yang perlu dipupuk antara seluruh warga bahiyah. Dua tiga hari ini minda cikgu cukup terganggu dengan beberapa insiden yang melibatkan kawan-rakan dalam SMK Bahiyah, yang cukup mudah menyinggung perasaan orang lain dengan kata-kata. Sikap ini barangkali berlaku tanpa disedari tetapi merobek hati insan lain dan menyebabkan orang lain menderita tanpa kita sedar. Sepatutnya dalam kehidupan di SMKSB, kita perlu menjadi satu keluarga. Dimana setiap kita memainkan peranan sama banyak untuk mengekalkan rasa kasih sayang agar kita dapat hidup saling membantu. Bukan dengan melunturkan rasa kasih sayang itu dengan rasa kebencian yang meruap-ruap. Sekiranya ini berlaku bagaimana kita warga bahiyah ingin menjadi 'centre of excellent' seperti mana yang digempar-gempurkan selama ini. Marilah para pelajar, kita sama-sama menzahirkan rasa kasih kita kepada SMK Bahiyah - bukan hanya kepada sekolah malahan kepada seluruh warga yang ada di dalamnya tanpa mengenal siapa dirinya dan siapa kita. Jika kita boleh lakukan itu, sudah pasti pintu untuk kita bergerak ke puncak akan luas terbuka.

Isnin, 2 Mac 2009

Remaja : Siapa Kita

Terdapat tiga peringkat remaja berdasarkan perkembangan diri manusia.
  1. Peringkat Awal Remaja - 9 hingga 15 tahun
  2. Peringkat Pertengahan Remaja - 16 hingga 18 tahun
  3. Peringkat Akhir Remaja - 19 hingga 21 tahun.

Berdasarkan peringkat tersebut, kita menyedari bahawa datuk-nenek kita telah mengakhiri zaman remaja mereka ketika berada di pereingkat awal remaja lagi. Sedangkan dewasa ini, pada ketiga-tiga peringkat tersebut para remaja masih berada di bangku sekolah - mengejar 'dream' masing-masing. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa remaja sering dikaitkan dengan pelbagai isu sosial jika dibandingkan dengan zaman datuk-nenek kita.

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa menjadi seorang remaja yang sihat dan positif sama ada dari segi fizikal mahupun mental. Sentiasa bersedia untuk mengharungi kehidupan agar tidak mudah terjebak dalam kancah kemusnahan. Remaja harus belajar mengenali potensi diri mereka dan dapat membezakan sama ada secara fizikal, emosi mahupun tingkah laku berbanding dengan kanak-kanak dan juga orang dewasa yang berusia 60 tahun ke atas. Cuba duduk dan berfikir sejenak apakah ciri-ciri fizikal, emosi dan juga tingkahlaku seorang remaja dengan kanak-kanak dan individu berusia 60 tahun. Anda akan mengenali diri anda, siapa?

Motivasi di SK Alor Setar

Hari ini cikgu menghadiri satu program motivasi khusus untuk student form 6 di SK. Alor Setar. Entah kenapa cikgu rasa begitu dekat dengan pelajar-pelajar ini. Mungkin kerana dulunya cikgu merupakan guru di sekolah rendah. Seronok dapat berkongsi maklumat dan pengetahuan dengan para pelajar yang rata-rata terdiri daripada golongan sederhana. Cikgu rasa cukup terharu dengan sambutan mereka. Cikgu merasakan begitu sukar untuk guru-guru di sekolah ini membuat suatu perubahan sekiranya sikap pelajar tidak diubah. Hanya satu yang cikgu soakan semoga mereka akan terus melihat diri mereka ke hadapan kerana mereka sebenarnya amat berkemampuan.

Ahad, 1 Mac 2009

Jangan Bimbang! Masalah kamu tetap dirahsiakan.

Semua manusia ada masalah. Masalah adalah asam-garam hidup. Hidup perlukan perjuangan. Perjuangan perlukan pengorbanan. Pengorbanan perlukan ketabahan. Ketabahan perlukan keyakinan. Keyakinan membina kecemerlangan. Kecemerlangan menggilap kejayaan. Kejayaan melakar kebahagiaan!

Jangan biarkan masalah membelit anda! Kongsi masalah anda untuk sekurang-kurangnya meringankan bebanan diminda anda. Mulakan langkah pertama untuk merubah diri anda!!

DIARI SEORANG PESARA 3

Menjadi seorang pesara, rutinnya hanya di rumah. Menyiapkan tugas-tugas hakiki sebagai suri rumah. Tidak ada bezanya. Cuma dulu banyak ma...